Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyambut baik pelantikan Jocelyn Yow, 25, seorang warga Amerika yang mempunyai susur galur dari Malaysia dan Vietnam, sebagai Datuk Bandar Eastvale di California.
Dia menggesa anak muda Malaysia agar mengambil iktibar bahawa mereka juga mempunyai peranan penting dalam perkembangan politik Malaysia.
"Pelantikannya pada 10 Disember lepas melakar sejarah baru di dalam landskap politik AS.
"Pencapaian Jocelyn Yow yang mempunyai susur galur dari negeri Jelapang Padi (Kedah) ini juga menjadikan dia tokoh contoh yang terbaik untuk golongan anak muda di Malaysia.
"Dasawarsa ini, usia bukan lagi kayu ukur kebijaksanaan seseorang. Keutamaan yang dititik beratkan kini adalah kebolehan dan keupayaan golongan anak muda dalam memikul tanggungjawab besar dan menjadi Datuk Bandar bukanlah tanggungjawab yang calang-calang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim juga berkata pada masa sama, anak muda yang menunjukkan kewibawaan dan kearifan dalam kepimpinan seharusnya diberikan peluang dalam memimpin kerana mereka akan memberikan impak positif kepada masyarakat.
"Lebih-lebih lagi kita hidup di zaman yang mana teknologi baru sedang membangun dengan pesat, selanjutnya membuktikan betapa pentingnya kita untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan anak muda dalam memimpin," tambahnya.
Yow, yang merupakan ibu kepada seorang anak lelaki berusia enam bulan, dilahirkan di AS tetapi kembali ke Malaysia ketika masih bayi dan tinggal di Kedah selama satu dekad, belajar di SMJK Keat Hwa di Alor Setar, Kedah.
Ayahnya dari Malaysia tiba Amerika Syarikat pada tahun 1980 untuk belajar di mana dia bertemu dengan ibunya yang keluarganya tiba di AS sebagai pelarian.
Yow, yang belajar di University of California, Berkeley, dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam pemerintahan di Harvard Extension School, dilaporkan adalah wanita termuda dari kaum minoriti untuk berkhidmat sebagai Datuk Bandar di wilayah di Calfornia itu.
Yow juga penyokong perwakilan wanita dalam politik.
Sementara itu, kata Lim, sebagai seorang ibu berketurunan Asia, kejayaan Yow membuktikan latar belakang minoritinya bukanlah penghalang untuk dia mendapatkan sokongan dari golongan majoriti.
"Penting untuk golongan anak muda kita sedar akan keupayaan dan kebolehan mereka dalam membentuk dan membina negara. Perselisihan politik yang kian mengeruh di dalam landskap politik tempatan kini membuktikan betapa pentingnya suara-suara baru untuk diketengahkan.
"Kepentingan yang harus dititipkan di sini bukanlah umur, jantina, bangsa, ataupun agama, namun semangat juang yang tinggi dan kesepakatan bersama adalah kunci utama untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih baik," katanya.