Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen jalani HSO boleh hadir di parlimen pakai PPE

Ahli Parlimen yang menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) dibenarkan hadir ke parlimen bagi proses pengundian dengan mengenakan pakai perlindungan diri (PPE).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, berkata tiga ahli parlimen termasuk seorang dari blok pembangkang kini menjalani proses kuarantin kerana menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Takiyuddin berkata, ketiga-tiga ahli parlimen terbabit akan ditempatkan di ruangan khas di Dewan Rakyat bagi mengikuti proses mengundi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

"Ya, mereka boleh datang, tapi untuk masuk ke dalam dewan mereka kena lengkap berpakaian PPE.

"Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas di dalam Dewan Rakyat," katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Presiden PAS di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Takiyuddin mendedahkan tiga ahli yang dalam proses HSO ialah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan; dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat bagi tahun 2020 menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa.

Justeru itu, kehadiran ahli Parlimen ini cukup penting dalam situasi kritikal bagi menentukan rang undang-undang berkenaan diluluskan atau sebaliknya.

Bacaan ketiga rang undang-undang itu dijangka pada Rabu ini.

Malaysiakini sedang menghubung Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun bagi mendapatkan maklum balas mengenainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS