Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan menghadap Sultan Perak dah diterima, kata Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memaklumkan yang permohonannya untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah diperkenan baginda.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh dia dibenarkan menghadap Sultan Perak.

"Kita telah sembah permohonan dan sudah diterima (saya)... tak mahu beri tarikh bila (akan menghadap).

"Tiba masa kita akan menghadap," katanya kepada media pada sesi dialog di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung parti itu Takiyuddin Hassan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Presiden PAS memohon menghadap Sultan Nazrin Shah, namun sumber yang rapat dengan istana memberitahu belum ada tarikh ditetapkan.

Semalam, Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin Shah.

Surat yang turut dilihat oleh Malaysiakini itu menyatakan niatnya untuk memberitahu Sultan mengenai "situasi politik yang melibatkan PAS".

Ia berlaku setelah Adun PAS Perak tidak hadir pada sesi menghadap yang dijadualkan dengan Sultan Nazrin pada hari Selasa lalu di tengah ketidaktentuan politik mengenai calon menteri besar yang baru.

Laman web berita The Vibes memetik sumber dekat dengan Abdul Hadi dipetik sebagai berkata ahli parlimen Marang itu memohon menghadap untuk "memohon pengampunan".

PAS sebelum ini menjelaskan bahawa ia memutuskan untuk "menangguhkan" menghadap Sultan Nazrin kerana kepemimpinan pusat parti itu belum memutuskan sokongannya terhadap Adun Kota Tampan, Saarani Mohammad sebagai menteri besar Perak yang baru.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata isu politik Perak telah selesai selepas Saarani mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak yang baru.

"Sebahagian besar sudah diselesaikan, menteri besar dan lima exco kerajaan negeri telah pun dilantik.

"Baki (exco) ikut proses (berdasarkan) perlembagaan Perak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS