Anwar Ibrahim disarankan supaya tidak membuang masa dengan dakwaan mendapat sokongan daripada ahli parlimen bagi membentuk kerajaan barunya, kata Otai Reformis.
Sebaliknya, setiausaha kumpulan penyokong tegar presiden PKR itu, Abdul Razak Ismail berkata sudah tiba masanya Anwar melangkah ke depan dan bertemu dengan pimpinan parti di setiap negeri.
“Kita mula tertanya-tanya bilakah masanya PH akan berhenti berharap belas ihsan ahli parlimen PN-BN untuk menyeberang,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
“Sewajarnya Anwar bakar sahaja SD (akuan bersumpah) itu dan mula turun ke negeri untuk bertemu pimpinan setempat dan move on,” katanya lagi.
Pada Sept lalu Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson membuat pengumuman mengejut apabila mendapat sokongan majoriti daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.
Bagaimanapun, Anwar tidak mendedahkan butiran SD berkenaan semasa mendapat pekenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Okt dan terus meyakinkan pelbagai pihak dia memiliki sokongan yang kukuh untuk menggantikan Perikatan Nasional.
Rancangan pembangkang untuk menggagalkan Belanjawan 2021 juga tidak menjadi kenyataan apabila Anwar memberikan arahan pada saat-saat akhir untuk ia tidak dicabar melalui undian belah bahagi.
Ketika Belanjawan 2021 didakwa akan dicabar di peringkat jawatankuasa, satu demi satu peruntukan buat kementerian yang ada diluluskan sama ada melalui undian suara atau belah bahagi.
Ia berlaku ketika ada ahli parlimen Umno sudah menyatakan pendirian untuk tidak terlibat dalam pengundian dan pada ketika sama, sokongan ahli parlimen kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri terus diragui.
Abdul Razak berkata apabila Pakatan Harapan (PH) mendapatkan sokongan minimum 15 ahli parlimen untuk menyokong undi belah bahagi dalam Belanjawan 2021 pada peringkat dasar menimbulkan tanggapan dalam kalangan orang ramai bahawa usaha menjatuhkan PN sudah berakhir.
"Ia semakin jelas apabila peruntukan 22 kementerian lulus satu per satu di peringkat jawatankuasa tanpa banyak halangan setakat ini," katanya.
Walaupun Anwar gagal membuktikan sokongan, Setiausaha Agung BN Annuar Musa mendakwa bahawa masih terdapat usaha yang sedang berjalan bagi mengumpulkan SD dan mengubah pendirian Umno yang bersetuju menolak Anwar dan DAP.
Bagaimanapun setiausaha agung BN itu tidak memperincikan dakwaan berkenaan.
Sementara itu, dalam ucapan perhimpunan agung Warisan hari ini presiden parti itu Mohd Shafie Apdal berkata pembangkang perlu berani melakukan perubahan kerana sebelum ini - dengan kerjasama yang dilakukan - mereka berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Abdul Razak - dalam laporan pagi tadi - berkata PH perlu bekerjasama dan mengeratkan hubungan dengan parti pembangkang lain termasuk Warisan untuk memenangi PRU akan datang.