Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu 'tunggu' bukti Hasnul sokong usul Umno Perak
Diterbitkan:  Dec 12, 2020 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Keanggotaan Adun Titi Serong di Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dalam parti barunya mungkin tidak bertahan lama jika dia terbukti bersama parti lain mengundi untuk mengetepikan timbalan presidennya sendiri pada 4 Dis lalu.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata keanggotaan Hasnul Zulkarnain akan tergugur secara automatik andainya bekas ketua Pemuda Amanah itu mengundi tidak percaya Ahmad Faizal Azumu.

"Kita tak perlu ambil tindakan dan sekiranya terbukti apa yang dilakukannya (sokong usul itu) itu, maka ianya akan tergugur mengikut perlembagaan parti," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menteri Dalam Negeri itu ditemui media selepas menyampaikan bantuan Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia di Selama, Perak hari ini.

Hasnul Zulkarnain didakwa tidak menyertai Adun Bersatu Perak mempertahankan Ahmad Faizal sebagai menteri besar dalam undian pada 4 Dis lalu.

Dia juga didakwa menandatangani perakuan berkanun untuk menyokong Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad menjadi menteri besar yang baru.

Ketika Adun Bersatu lain tidak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta Hasnul Zulkarnain muncul dan mengadakan pertemuan dengan baginda pada 8 Dis.

Hamzah yang dipetik Bernama pula berkata mungkin Umno Perak akan menghantar bukti-bukti berkaitan kepada Bersatu selepas ini.

"Tindakan sama seperti yang kita pernah lakukan di peringkat nasional, tidak boleh bezakan bahagian atau negeri," katanya.

Pada 4 Dis lalu, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang disingkirkan daripada jawatan menteri besar Perak selepas gagal mendapat sokongan majoriti daripada Adun negeri itu dalam undian percaya yang diusulkan oleh Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu sedang membuat pertimbangan bagi mengambil tindakan ke atas Hasnul Zulkarnain termasuk memecatnya.

Untuk rekod, Hasnul Zulkarnain merupakan bekas ketua Pemuda Amanah yang meninggalkan partinya untuk menjadi Adun bebas menjelang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak. Dia kemudian menyertai Bersatu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS