Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maik benar solat Jumaat, fardu kecuali di Kubang Kerian, Kusial
Diterbitkan:  Dec 12, 2020 2:14 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan solat Jumaat, fardu serta aktiviti di masjid dan surau berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di Kelantan kecuali di dua mukim iaitu Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah.

Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata dua mukim berkenaan dikecualikan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 20 Dis ini.

"Bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang, solat Jumaat, fardu serta aktiviti di masjid, surau dan musalla adalah dibenarkan sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah diumumkan oleh pihak kerajaan.

"Bagaimanapun semua surau dan musalla yang terletak di kawasan Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan Kluster Huma diarahkan tutup hingga tarikh yang akan diberitahu nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa sama, arahan penutupan surau dan musalla yang terletak dalam kawasan Kluster Mengketil dan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih diteruskan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu nanti.

Tengku Mohamad Rizam berkata perkara tersebut mendapat perkenan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan agar solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau dan musalla dibenarkan mengikut SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Maik katanya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan itu.

"Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin selain terus berdoa agar segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT supaya wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh-Nya,” katanya

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS