Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Ada orang nak ubah pendirian Umno tolak Anwar, DAP
Diterbitkan:  Dec 12, 2020 12:05 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata terdapat usaha mengubah pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP.

Annuar, yang juga ahli parlimen Ketereh berkata pendirian ini juga telah diterima oleh sekutu-sekutu Umno tetapi ada pihak yang perlahan-lahan cuba menghakis pendirian tersebut.

"Konspirasi menggagalkan dasar 'tolak Anwar dan DAP' (No Anwar, no DAP) sedang berjalan.

"Akuan berkanun (SD) cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut diguna," katanya pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Annuar tidak menamakan individu dimaksudkannya itu tetapi menyebut "liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi."

"Mereka pura pura letak DAP di saf belakang agar mereka mudah mempedaya kelompok 'No DAP No Anwar'," katanya.

Menurut Annuar lagi, tindak-tanduk pihak berkenaan sedang diperhatikan.

"Watak ini telah sekian lama menghantui politik negara. Tetapi mereka mungkin tidak sedar, gerakan mereka sudah di baca," katanya.

Kenyataan Annuar ini, kurang dari seminggu selepas Umno berunding dengan PH, termasuk DAP, mengenai kemungkinan membentuk kerajaan Perak.

Walaupun perundingan tersebut tidak membuahkan hasil, namun ia menimbulkan persoalan bahawa dua parti yang sekian lama berseteru itu sanggup duduk semeja.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed hari ini memberi amaran Umno mungkin tidak akan teragak-agak menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bertanding bersendirian pada pilihan raya akan datang atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ini, katanya jika Bersatu terus ghairah mahu menjadi parti dominan dalam kerajaan.

Nur Jazlan dipetik FMT berkata ahli Umno perlu memikirkan pilihan kerjasama dengan PH pada PRU15 dengan mengambil kira realiti politik semasa.

Katanya, cadangan jalinan kerjasama antara Umno dengan PKR dan DAP “mungkin bukan idea buruk” kerana Malaysia memerlukan kerajaan inklusif untuk maju dan diterima di peringkat global sebagai negara progresif.

“Memiliki kerajaan yang lebih daripada 90 peratus Melayu (seperti sekarang) tidak sihat atau baik untuk negara. 

"Kita tidak boleh menyisih orang bukan Melayu dalam soal jawatan dalam kerajaan,” katanya.

Walaupun Umno dan DAP berseteru dalam banyak hal melibatkan soal dasar dan urus tadbir tetapi di dalam politik pilihan raya kedua parti itu tidak bertembung di kebanyakan kawasan.

Ini disebabkan kedua-dua parti tersebut mempunyai profil pengundi yang sangat berbeza.

Sebaliknya, Umno mempunyai banyak pertindihan kerusi pilihan raya yang ingin ditandingi dengan Bersatu dan PAS kerana ketiga-tiga parti merebut undi masyarakat Melayu dan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS