Pihak polis hari ini menasihati orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Azisman Alias berkata, mereka yang ingin menjalankan aktiviti tersebut perlu memilih lokasi yang kurang kenderaan dan tidak menunggang basikal di waktu puncak.
"Selain itu, pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan roof rack carrier sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal," katanya dalam satu kenyataan.
Azisman berkata, sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi trend sesetengah rakyat Malaysia sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.
Pada tahun lalu, statistik kemalangan melibatkan penunggang basikal merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan.
Dari Januari sehingga Oktober lalu merekodkan 137 kes melibatkan 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.
Semalam, satu foto yang menunjukkan seorang individu menunggang basikal di Lebuh Raya Persekutuan tular di media sosial.
"Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan menunggang basikal di jalan raya boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.