Pelantikan Adun daripada PAS sebagai Exco bergantung kepada perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, demikian menurut Menteri Besar Perak yang baru, Saarani Mohamad.
Saarani berkata dia akan mencadangkan nama lima lagi Adun untuk memenuhi barisan 10 Exco kepada Sultan Nazrin dalam masa terdekat, selepas lima Exco mengangkat sumpah, semalam.
“Saya tidak boleh mengumumkan sekarang (siapa nama yang dicadangkan). Kita akan mengisi jawatan Exco seperti sebelum ini dan saya boleh mencadangkan nama, tetapi untuk memperkenankan calon tersebut adalah hak mutlak Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Ditanya sama ada lima Exco yang bakal dilantik itu adalah individu sama semasa pentadbiran Ahmad Faizal Azumu, Saarani berkata perkara itu akan diteliti semula mengikut kesesuaian.
Semalam, empat daripada lima Adun yang mengangkat sumpah merupakan lantikan semula iaitu Zolkafly Harun (BN-Lintang); Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).
Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik adalah muka baru.
Barisan Exco Perak terbubar selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Dis lepas, setelah dia gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.
Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan DUN, Jumaat lepas, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata dia akan mengadakan Mesyuarat Exco pertama Isnin depan dan memberi taklimat berkenaan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di Ipoh kepada semua Adun supaya dokumen itu dibentangkan pada, Rabu nanti.
Mengenai ulasan A Kadir Jasin dalam sebuah portal tempatan yang mendakwa pemimpin Umno Pusat hilang kawalan terhadap pemimpin Umno negeri berikutan kemelut parti politik Perak, Saarani berkata ia adalah tafsiran dan pandangan peribadi.
Terdahulu, Saarani, 59, yang berpakaian baju Melayu lengkap bersamping disambut pegawai-pegawai kanan dan kakitangan awam di Bangunan SUK dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri Zulazlan Abu Hassan.
Dia kemudian diberikan taklimat ringkas mengenai Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sidang media di bangunan sama.
-Bernama