Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan kementerian belia dan sukan lulus melalui undi suara

PARLIMEN l Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui undian suara hari ini.

Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM940.58 juta, dengan RM614.136 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM326.444 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, KBS menumpukan terhadap sektor teras iaitu sukan (RM107.261 juta peruntukan), belia (RM31.999 juta peruntukan) dan pembangunan kemahiran (TVET - RM113.467 juta peruntukan).

KBS menjadi kementerian pertama dibahaskan hari ini sebelum, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut diluluskan secara undian suara.

Ia melibatkan peruntukan RM1.288 bilion, iaitu RM823.755 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM464.508 juta perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula lulus hanya setelah melalui undian belah bahagi.

Dalam undian itu, seramai 107 ahli parlimen menyokong peruntukan itu, 100 tidak bersetuju, manakala 13 tidak hadir.

Ia melibatkan peruntukan RM2.347 bilion, iaitu RM1.197 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.15 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Jumlah itu setelah Dewan Rakyat meluluskan usul memotong peruntukan RM45 juta daripada peruntukan asal Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sebanyak RM85.5 juta, di bawah perbelanjaan mengurus.

Dengan itu, tinggal lima lagi kementerian menunggu giliran dibahaskan dalam minggu terakhir sidang, iaitu minggu depan.

Setakat ini, kerajaan meluluskan 22 kementerian, lapan menerusi undian belah bahagi.

Dewan Rakyat bersidang dijadual bersambung Isnin depan sehingga tamat pada 17 Dis nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS