Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa k'jaan tetapkan tarikh bentang RUU gangguan seksual

NGO hak wanita menggesa kerajaan menetapkan tarikh akhir bagi pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual di Dewan Rakyat.

RUU itu sepatutnya dibentangkan pada Mac lalu tetapi ia tidak berlaku selepas keruntuhan kerajaan PH.

Pada Selasa lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun memaklumkan rangka RUU itu masih berada dengan Pejabat Peguam Negara.

Menyatakan penangguhan disebabkan pertukaran kerajaan, Rina turut mendedahkan rancangan pembentangannya telah ditangguh ke tahun depan.

Pengurus program dan operasi All Women’s Action Society (Awam) Nisha Sabanayagam menyuarakan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu, dan menyifatkannya kurang serius dalam soal kesihatan dan keselamatan awam wanita.

"Mengetahui yang RUU ini akan dibawa ke Parlimen selepas tidak mendengarnya untuk sekian lama adalah perkara yang baik.

"Bagaimanapun, ia patut dibentang lebih cepat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nisha Sabanayagam

Nisha berkata sudah menjangka akan ada penangguhan selepas pertukaran kerajaan, tetapi menyatakan RUU itu sudah sedia untuk dibentangkan.

"Melangkah ke hadapan, lebih baik tetapkan satu tarikh berkenaan bila ia akan dibentangkan," katanya.

Katanya lagi, jika pihak berkuasa ada sebarang soalan berkenaan RUU itu atau rangkanya, mereka boleh merujuk kepada pemegang taruh, termasuk Awam, yang sedia untuk menyokong kerajaan dalam hal ini.

Dengan menangguhkan pembentangan ke tahun depan, katanya, kerajaan terlepas peluang untuk memastikan peruntukan sepatutnya bagi pelaksanaan RUU itu di bawah Belanjawan 2021.

Pada Oktober, Awam melancarkan kempen dalam talian untuk menggesa kerajaan membentangkannya pada sidang Parlimen kali ini.

Bagaimanapun, ia tidak berlaku memandangkan hampir keseluruhan agenda Dewan Rakyat berkenaan Belanjawan 2021.

Pertubuhan masyarakat sivil telah menggesa undang-undang khusus untuk menangani gangguan seksual selama lebih dua dekad.

Awam pertama kali merangka rang undang-undang gangguan seksual bersama Women’s Centre for Change di Pulau Pinang pada dekad 1990-an.

Pertubuhan itu juga sebahagian daripada pasukan petugas khas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung gangguan seksual, dan terlibat dalam menambah baik RUU tersebut.

62 peratus wanita bekerja lapor alami gangguan seksual

Sementara itu, Pengarah Advokasi Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) Yu Ren Chung berkata, penangguhan pembentangan RUU itu adalah harga yang perlu dibayar akibat Langkah Sheraton yang membawa kepada keruntuhan pentadbiran PH.

Yu Ren Chung

Yu menegaskan reformasi dasar yang penting tidak boleh lagi ditangguhkan.

"Banyak laporan menunjukkan betapa serius masalah gangguan seksual di Malaysia. Tinjauan oleh YouGov pada 2019 menunjukkan 36 peratus wanita dan 17 peratus lelaki di Malaysia berdepan gangguan seksual - di universiti, tempat kerja, ruang awam dan tempat-tempat lain.

"Tinjauan Vase.ai bersama-sama WAO pada 2020 menunjukkan 62 peratus wanita bekerja di Malaysia berdepan masalah itu," katanya.

Dia berkata kerajaan, terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan harus mengutamakan soal pembaharuan dasar, seperti memastikan kesamaan gender dan menamatkan keganasan berdasarkan gender.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS