Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu usul undi percaya, tidak percaya dijangka dibangkit hari ini

PARLIMEN | Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta perdana menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan strategi jangka pendek kementerian bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sesi soal jawab lisan, Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Belia dan Sukan, Sumber Manusia serta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka hangat ekoran peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menjadi pertikaian kebanyakan Ahli Parlimen.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menjenamakan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS