Menyedari keperitan hidup anggota polis di bandar-bandar besar, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sekali lagi meminta kerajaan menimbangkan kenaikan elaun tetap perumahan untuk anggota pasukan keselamatan itu.
Memberi contoh anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang terpaksa menunggang motosikal berulang setiap hari dari Sijangkang, Selangor kerana sewa rumah yang mahal di ibu kota, Abdul Hamid berkata elaun perumahan RM300 yang diterima sekarang tidak dapat menampung kadar sewa di bandar-bandar besar.
“Saya tidak minta gaji polis naik tetapi saya minta elaun rumah mereka dinaikkan kerana anak buah saya (anggota polis) yang terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang memang berhadapan kos sara hidup yang tinggi… bayangkan mereka yang bertugas di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
“Anak buah saya yang bergaji anggaran RM2,500 sebulan selepas tolak pelbagai komitmen mungkin berbaki RM1,500... jadi apa yang mereka ada?
"Itu yang menggalakkan mereka tahan orang dan jatuh hukum di situ juga… jadi ‘majistret jalanan’ (ambil rasuah),” katanya.
Abdul Hamid berkata demikian kepada Bernama ketika menerima kunjungan hormat pihak pengurusan tertinggi agensi berita itu di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Hamid berkata anggota pasukan keselamatan itu sepatutnya layak mendapat kuarters, tetapi bilangan petempatan polis yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menampung keperluan.
Pada masa ini katanya kira-kira 10,000 anggota tinggal di berek, manakala antara 10,000 dan 11,000 lagi terpaksa menyewa di luar.
"Kami memerlukan 20,000 berek polis untuk menampung keperluan anggota polis yang pada masa ini rata-rata menyewa di luar, terutama di Lembah Klang,” katanya.
“Saya hendak fokuskan dengan membina lebih banyak berek di Lembah Klang dan projek itu sudah lulus, cuma hendak take off (mula bina) saja,” katanya sambil menyatakan kelegaan apabila peruntukan Belanjawan 2021 untuk pasukan polis tidak berkurangan.
Abdul Hamid percaya jika isu kebajikan anggota ditangani sebaiknya, masalah salah laku dan rasuah yang sering dikaitkan dengan pasukan keselamatan itu boleh dibanteras.
Terdahulu Pengerusi Bernama Senator Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekuti Bernama Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia itu.
Antara lain mereka membincangkan isu keselamatan siber, peranan media di Malaysia serta hubungan kerjasama di antara Bernama dan PDRM.
- Bernama