Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri jelaskan beza antara PKPB dan PKPP
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 7:08 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan perbezaan di antara perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Untuk rekod sebahagian besar negeri atau kawasan dalam negara sudah kembali kepada status PKPP sejak 6 Dis lalu. Bagaimanapun dalam keadaan begitu kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara kecuali di kawasan PKP diperketatkan (PKPD).

"Di kawasan PKPB aktiviti sosial tidak dibenarkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah menteri kanan itu lagi, bagi kawasan PKPP pula kegiatan sosial seperti kenduri kahwin kembali diizinkan asalkan pihak yang berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu Ismail Sabri mengingatkan kebenaran diberi kerajaan untuk pergerakan rentas negeri dan kelonggaran peraturan bukan bermakna wabak Covid-19 sudah berakhir.

Sebaliknya kata ahli parlimen Bera itu, orang ramai perlu memiliki disiplin yang tinggi bagi memastikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat berada dalam keadaan selamat.

Pada sidang media sama dia turut mengumumkan kelonggaran untuk pelanggan restoran apabila tiada lagi had untuk orang ramai berkongsi satu meja asalkan wujud penjarakan fizikal.

"Sebagai contoh, sebuah restoran Cina dengan meja yang boleh memuatkan 10 orang - dengan adanya penjarakan fizikal mungkin ia boleh digunakan tujuh orang," katanya.

Pada 7 Dis lalu Majlis Keselamatan Negara menetapkan peratuan orang ramai yang duduk di meja sama mestilah dalam keadaan berjauhan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Bagaimanapun di Sabah kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan bahawa jumlah orang yang boleh berkongsi meja yang sama hanyalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar.

Tidak dapat dipastikan sama ada pengumuman Ismail Sabri hari ini turut melibatkan Sabah atau tidak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS