Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Giliran peruntukan KPKT, KKM diluluskan
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 4:42 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

PARLIMEN | Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah lebih RM5.3 bilion melalui undi belah bahagi hari ini.

Sebanyak 109 ahli parlimen mengundi menyokong untuk meluluskan belanjawan kementerian tersebut berbanding 96 undi menolak, manakala 18 yang lain tidak hadir.

Ia merupakan usul ketujuh yang menghadapi undian belah bahagi diminta pembangkang, daripada kesemua 19 usul yang dibahaskan setakat ini. Semua usul tersebut berjaya mendapat undi yang mencukupi untuk diterima setakat ini.

Terdahulu, peruntukan berjumlah RM31.94 bilion untuk Kementerian Kesihatan Malaysia diluluskan secara undian suara meskipun timbalan menterinya Dr Noor Azmi Ghazali berdepan asakan hebat daripada ahli-ahli parlimen berhubung peruntukan itu.

KKM diperuntukkan masa yang lebih panjang bagi memberi ruang 15 orang ahli parlimen berbahas dan kementerian menggulung RUU berkenaan.

Perbahasan peringkat jawatankuasa hari ini hanya melibatkan dua kementerian itu sahaja.

Sebelum perbahasan untuk peruntukan KPKT bermula, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun memaklumkan dia menerima empat usul untuk memotong peruntukan berjumlah RM8,627,200 untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang disenaraikan di bawah item program khusus tahun depan.

Usul itu dihantar oleh Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) dan Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dengan hujah ia mungkin boleh disalah guna sebagai alat politik.

Azhar membenarkan usul-usul itu dibahaskan sebagai satu masalah untuk diputuskan di Dewan Rakyat.

Zuraida menegaskan aktivis PeKT dilantik selaras dengan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan sebagai projek perintis di 19 Projek Perumahan Rakyat.

Zuraida yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum ini berkata seramai 261 aktivis setempat dilantik daripada 46 kerajaan tempatan bagi menjalankan aktiviti yang dapat menambah baik komuniti mereka.

Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari bulan lalu pula berkata PeKT Selangor akan melantik 288 ahli daripada parti PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS