Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nadir bumi Kedah: Amaran gangguan air di 3 negeri
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi amaran gangguan sumber air mentah di negeri-negeri utara jika Kedah memulakan penerokaan mineral skala besar terhadap unsur nadir bumi di Ulu Muda, Sik dan Baling.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa menteri kesar Kedah dengan mudah telah melupakan peranan yang telah dimainkan oleh Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda.

Katanya lagi, lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) daripada Sungai Muda, dekat muka sauk Lahar Tiang juga berasal daripada tempat sama.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada 2 Disember dilaporkan berkata sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur dianugerahkan permit bagi meneroka dan mengekstrak unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Muhammad Sanusi Md Nor 

Katanya Kedah memiliki deposit mineral dianggarkan berjumlah RM62 bilion dan syarikat berkenaan diberi kelulusan seminggu sebelum itu untuk melakukan penerokaan secara kerjasama dengan sebuah firma antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, Chow berkata operasi penerokaan seluas 163,000 hektar sudah pasti akan melibatkan pembukaan tanah secara berskala besar.

“Aktiviti penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan.

“Begitu juga dengan aktiviti perlombongan yang turut akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah yang strategik,” katanya.

Membantah tindakan itu, kerajaan Pulau Pinang memohon campur tangan pusat,

terutamanya Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk memastikan usaha ini dihentikan serta-merta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS