Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suaram: Siasatan kes di bawah Akta Hasutan naik hampir dua kali ganda
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 3:30 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Jumlah kes disiasat di bawah Akta Hasutan hampir dua kali ganda pada tahun 2020 berbanding tahun lalu, menurut data yang dikumpul NGO hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Sementara itu, siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) pula hampir tiga kali ganda.

Menurut keseluruhan laporan Suaram 2020, terdapat 20 siasatan di bawah Akta Hasutan yang dilancarkan tahun ini.

Berbanding dengan tahun 2019,  hanya 2 siasatan di bawah akta sama.

Begitu juga terdapat 93 siasatan CMA yang dicatatkan pada 2020, berbanding 34 tahun lalu.

Berdasarkan laporan siasatan CMA pada 2020, 15 daripadanya berhubung kenyataan menghina pegawai polis dan pihak berkuasa, 15 lagi tentang ahli politik dari kerajaan dan pembangkang termasuk ugutan serta 14 laporan berkaitan kerabat diraja.

Terdapat juga 13 siasatan terhadap kenyataan berhubung Covid-19 dan berita palsu.

Berbeza dengan 2019, hanya satu laporan terhadap pegawai polis, enam tentang ahli politik dan tiga berhubung kerabat diraja.

"Selain daripada penggunaan berleluasa Seksyen 233 untuk menyatakan laporan atas berita palsu, akta tersebt juga digunakan untuk menghalang kenyataan politik terutama ketika krisis pada 2020.

"Pengguna media sosial yang membuat kenyataan dalam Internet yang didakwa menghina kerabat diraja atau perdana menteri (antaranya) ditangkap, disoal atau dikenakan tindakan undang-undang," kata Suaram dalam laporan terbabit.

Berhubung Akta Hasutan, enam ahli politik dan tujuh aktivis atau wakil NGO telah disiasat pada 2020, berbanding empat ahli politik dan satu aktivis pada 2019.

Pada 2019, antara ahli politik yang disiasat di bawah Akta Hasutan adalah dari kerajaan dan pembangkang, antaranya menteri kewangan pada ketika itu, Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Padang Rengas dari Umno, Nazri Aziz.

Manakala pada 2020, hanya ahli politik pembangkang disiasat di bawah akta yang sama.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak merancang untuk memansuhkan Akta Hasutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS