Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pinda Perlembagaan untuk beri hak kerakyatan anak wanita warga M'sia'
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 2:54 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Kerajaan digesa untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak sama rata terhadap wanita dengan pasangan bukan warga untuk memberikan hak kerakyatan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Buat masa ini, hanya anak kepada lelaki warga Malaysia dengan pasangan bukan warga yang lahir di luar negara diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Koordinator Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata, ia selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berdasarkan gender.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, anak pasangan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan lahir di luar negara tidak diberikan status warganegara untuk mengelakkan isu dwi kerakyatan.

Katanya, ini kerana kebanyakan negara mempunyai dasar memberi kewarganegaraan mengikut bapa.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang kritikan bahawa ia bersifat diskriminasi terhadap wanita.

"'Risiko' sama berkenaan dwi kerakyatan juga wujud untuk anak kepada lelaki Malaysia dengan pasangan warga asing. Mengapa diskriminasi terhadap wanita?" soal Zaid.

Katanya lagi, jelas bahawa isu dwi kerakyatan bukanlah ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara, dan tidak boleh digunakan sebagai sebab untuk menafikan hak wanita Malaysia untuk memberikan status kerakyatan kepada anak mereka.

Peguam itu berkata, permohonan kerakyatan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan bukan penyelesaian mapan kerana ia tidak automatik dan anak berisiko tiada kerakyatan jika permohonan ditolak.

Satu-satunya penyelesaian adalah meminda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan untuk menggantikan perkataan "bapa" kepada "ibu bapa", yang akan memberikan hak sama kepada wanita warga Malaysia.

Zaid menyuarakan keyakinan yang pindaan itu akan disokong ahli Parlimen pembangkang, seterusnya mendapat sokongan majoriti dua pertiga yang diperlukan.

"Jika pembangkang tidak menyokong untuk memansuhkan klausa yang mendiskriminasi dalam perlembagaan, mereka akan berdepan kemarahan pengundi," katanya lagi.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang, seperti Hannah Yeoh (Segambut) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) antara yang giat menggesa perubahan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS