Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thailand bakal buka pintu kepada pelancong semua negara
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 11:36 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

GLOBAL | Thailand bakal membuka pintunya kepada lebih ramai pelawat asing dalam usaha merangsang sektor pelancongannya yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Timbalan jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata jemaah menteri hari ini meluluskan pelan untuk memperkenalkan visa khas pelancong tinggal lebih lama (STV) kepada pelawat dari semua negara.

Menurutnya, sebelum ini STV hanya diberikan kepada pelawat dari negara berisiko rendah Covid-19, namun bilangan pelancong yang memanfaatkan kemudahan itu adalah rendah.

“Jauh lebih rendah daripada jangkaan kami. Hanya 825 pelancong dari 29 negara dan enam kapal layar dari negara asing berlabuh di negara ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Ratchada berkata bagaimanapun, semua pelawat asing harus mematuhi peraturan di bawah STV termasuk menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik tiba.

Di bawah STV yang dilancarkan pada penghujung Oktober lepas, pelancong asing boleh tinggal di negara ini hingga sembilan bulan, namun mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di fasiliti kuarantin alternatif sejurus tiba, selain memiliki insurans kesihatan yang merangkumi rawatan Covid-19 berjumlah AS$100,000.

Thailand, negara pertama di luar China yang melaporkan kes Covid-19 pada Januari tahun ini, menggantung penerbangan komersial serta menyekat kemasukan pelancong asing dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

Setakat ini Thailand melaporkan keseluruhan 4,126 kes positif Covid-19 dengan 60 kematian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS