Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan batal kelulusan jual aset THP kepada Tomaco
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 10:34 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Kerajaan memutuskan untuk menarik balik kelulusan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) daripada TH Plantations Bhd (THP) pada 4 Dis lepas, berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor selain untuk diteliti dengan lebih lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan demikian dalam kenyataan bersama hari ini.

"Permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham daripada dua anak syarikat THP - Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd - adalah tertakluk kepada garis panduan perolehan hartanah yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac, 2014.

"Garis panduan ini telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera oleh bukan bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan ketetapan tersebut, surat kelulusan bertarikh 24 Nov, 2020 dikeluarkan ke atas permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

"Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat.

"Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS