Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buangan air kolam ikan keli punca pencemaran bau

Pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dekat Hulu Selangor, terpaksa dihenti tugas kira-kira 11.30 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati terdapat bau bangkai ikan pada sampel sumber air mentah yang diperoleh di Sungai Selangor.

"Pada 9.50 malam tadi pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran berada pada tahap empat ton di permukaan sauk loji terbabit.

“Susulan itu, pemeriksaan dibuat dan mendapati bau seakan bangkai ikan dikesan di Sungai Selangor sebelum kita melepaskan air HORAS (Hybrid off River Augmentation System) bagi mengurangkan pencemaran bau itu, " katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan ke atas kolam ternakan ikan itu di Serendah di Hulu Selangor.

Hee berkata hasil pemantauan LUAS bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), mendapati satu daripada 57 kolam air ternakan ikan itu telah melepaskan air ke Sungai Selangor bagi tujuan pengeringan kolam.

Beliau berkata premis ternakan ikan keli yang berkeluasan 45 hektar itu berada pada jarak kira-kira 8.7 km dari LRA Rantau Panjang.

Setakat ini, LUAS telah menjalankan enam pensampelan di lokasi itu bagi mengukur parameter Ammoniacal Nitrogen (AN), Total Nitrogen (TN) dan Total Phosphorous (TF).

"Kita jangka bekalan air pulih sepenuhnya secara berperingkat bermula 3 petang ini dan saya sahkan tiada gangguan bekalan air kerana loji rawatan dihenti tugas dalam tempoh empat ke lima jam.

“Situasi ini juga hanya menyebabkan tekanan air rendah dan tidak stabil," katanya.

Dalam pada itu, Hee berkata pemilik premis boleh didenda minimum RM200,000 sehingga maksimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (pindaan) 1999 yang telah dikuatkuasakan semalam.

"Arahan sita premis juga akan dikeluarkan ke atas pemilik premis ini kerana menjalankan perniagaan ternakan ikan tanpa lesen," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS