Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati Azilah bunuh Altantuya
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 7:11 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini memuktamadkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas anggota Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

Ini susulan keputusan panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada 13 Jan 20015.

Azahar, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Puan Sri Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof, berkata bukti baharu dalam permohonan semakannya sengaja tidak didedahkan oleh pemohon sendiri.

“Dia sendiri tidak memberitahu perkara itu kepada pihak polis, peguamnya dan mahkamah,” katanya sambil menambah bukti tambahan iaitu akuan bersumpah (SD) mendakwa pembunuhan itu dilakukan dengan arahan pihak ketiga.

“Sekarang harus ditegaskan bahawa dia (Azilah) berdiam diri mengenai bukti baharu yang disebut ini semasa siasatan, perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Azahar berkata penerimaan bukti ini bercanggah dengan prinsip undang-undang dan panel hakim berpendapat berdasarkan rekod tidak menunjukkan terdapat ketidakadilan dalam kes tersebut.

Menurutnya, tiada alasan menunjukkan berlaku pelanggaran keadilan asasi atau salah laksana keadilan.

Beliau berkata bahawa tidak ada keadaan luar biasa untuk membolehkan permohonan itu boleh disemak mengikut peruntukan Peraturan137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Berikutan penolakan permohonan semakan, Azilah,43, hanya mempunyai pilhan akhir iaitu mendapatkan pengampunan diraja daripada Sultan Selangor.

Terdahulu, panel hakim tersebut juga menolak permohonan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah dengan berpendapat pemohon tidak terkesan secara langsung dengan semakan berkenaan.

Azahar, bagaimanapun, berkata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bebas untuk hadir di mahkamah sebagai peguam permerhati bagi Najib dalam permohonan semakan berkenaan.

Beliau berkata mahkamah berpendapat hak perundangan dan kepentingan cadangan pencelah tidak berkaitan dengan perkara pokok dalam permohonan semakan Azilah.

“Pada pendapat kami, pihak-pihak dalam permohonan semakan iaitu Timbalan Pendakwa Raya dan Azilah sudah mencukupi untuk membantu mahkamah dalam permohonan semakan ini,” katanya.

Azilah mengemukakan permohonan semakan pada 5 Dis tahun lalu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 serta memohon supaya kes itu dibicarakan semula.

Dalam permohonan semakan berserta akuan bersumpah 32 halaman itu, Azilah mendakwa arahan membunuh Altantuya datang daripada Najib, ketika itu timbalan perdana menteri, tetapi Najib menafikan dakwaan tersebut dan memohon untuk mencelah.

Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar, 48, telah disabit dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara jam 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 susulan rayuan pendakwaan.

Sirul kemudian melarikan diri ke Australia pada 2014 ketika dalam jaminan dan kini ditahan di pusat tahanan imigresen di sana manakala Azilah sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Sementara itu, Muhammad Shafee, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk memohon supaya akuan bersumpah Azilah itu dipadamkan.

Beliau juga berkata keputusan mahkamah hari ini tidak mempunyai kesan kepada Najib kerana kes pembunuhan Altantuya tidak membabitkan anak guamnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS