Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu perikanan didakwa gagal jelas lebihan wang RM360k

Seorang Pembantu Perikanan Pengurusan Sumber di Jabatan Perikanan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal memberi penjelasan berhubung lebihan wang berjumlah RM368,162.98 di dalam akaun bank miliknya.

Mohd Zainal Murad @ Jusoh, 50, didakwa tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan berkaitan lebihan wang itu setelah diambil kira emolumennya sekarang dan sebelum ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 30 Jan lepas, mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziah Mohaide menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia menghidap beberapa penyakit termasuk jantung dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kangar, Perlis.

"Saya juga telah digantung kerja sejak Februari lepas. Saya menyara tiga orang anak manakala isteri hanya menjual kuih secara sambilan," katanya yang menetap di Kangar.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan Mohd Zainal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh ke luar negara sehingga kes selesai serta menetapkan 7 Jan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS