Paling Popular
Terkini
story images
story images

Tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) Perak selesai mengadap Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh petang ini namun apa yang bakal berlaku di negeri itu masih sukar diramal.

Ditemui media di depan pekarangan istana, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan dan pertemuan mereka tadi bertujuan untuk memaklumkan kepada sultan mengenai apa yang berlaku.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pula sekadar memberi kenyataan ringkas: "We pray for the best (Kita doakan yang terbaik)."

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dilantik PKR sebagai ketua di Perak pula berkata keadaan politik di Perak ketika ini berubah-ubah dalam waktu yang singkat.

"Kami di sini hanya untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada tuanku sultan," katanya.

Ditanya jika PH ada mengemukakan nama sesiapa untuk dicalonkan sebagai menteri besar, Farhash mengesahkan ia tidak dibuat.

Penegasan itu menjadikan ketika ini hanya Umno yang mengemukakan calon untuk dilantik menjadi menteri besar menggantikan Timbalan Presiden Bersatu merangkap Adun Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu.

Terdahulu bekas ketua Pemuda Amanah yang menyertai Bersatu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengadap Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh menjelang tengah hari tadi.

Istana akan buat pengumuman

Perkembangan itu berlaku ketika pihak istana menitahkan Adun Perak mengadap untuk menyatakan pendirian mereka berhubung calon menteri besar dari Umno.

Menurut Adun Titi Serong itu, dia mengadap berseorangan saja namun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Hasnul Zulkarnain berkata dia tidak pasti sama ada Sultan Nazrin menitahkan Adun Perak datang seorang demi seorang atau sebaliknya. 

Beberapa minit sebelum jam 3 petang dua kenderaan dengan masing-masing membawa Farhash dan memasuki pekarangan istana sebelum diikuti Asmuni beberapa minit kemudian.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadap sultan pada jam 10 pagi untuk mempersembahkan nama calon menteri besar selepas Ahmad Faizal tersingkir melalui undi percaya di DUN Perak pada 4 Dis lalu.

Malam tadi Umno menyatakan mereka sebulat suara menamakan Adun Kota Tampan Saarani Mohammad sebagai calon menteri besar. Bagaimanapun Ahmad Zahid yang ditemui media selepas mengadap Sultan Nazrin berkata nama yang dikemukakan secara rasmi hanya akan diumumkan oleh pihak istana selepas ini.

Pelantikan menteri besar Perak perlu mendapat sokongan daripada parti selain Umno kerana kedudukan semasa kerusi dalam DUN menyaksikan tiada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti.

Hasnul Zulkarnain meninggalkan Amanah untuk menjadi Adun bebas sebelum menyertai Bersatu. Namun dia didakwa mengundi untuk menolak Ahmad Faizal - yang juga timbalan presiden Bersatu - dalam undian di DUN pada Jumaat lalu.

Dia juga dikaitkan dengan perakuan bersumpan (SD) yang memberikan sokongan kepada Saarani agar dilantik menjadi menteri besar.

Sumber dalaman parti memberitahu Bersatu sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan terhadap Hasnul Zulkarnain atas dakwaan tersebut.

Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan agar Adun Bersatu dan PAS mengadap untuk mempersembahkan pendirian masing-masing terhadap calon menteri besar Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS