Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sedia kerjasama dengan Umno bukti DAP bukan anti-Melayu

DAP menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan Umno dalam pembentukan kerajaan Perak membuktikan dakwaan mereka adalah anti-Melayu dan anti-Islam sebagai tidak benar sama sekali.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata mengambil kira situasi semasa di Perak - apabila tiada parti memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan - mereka membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Umno demi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

"Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno membuktikan dua perkara iaitu DAP parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama.

"Kedua, momokan DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam selama ini adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Nga dilaporkan berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu selepas Ahmad Faizal Azumu kehilangan majoriti dalam undi percaya yang diusulkan Umno dalam DUN pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Umno dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) malam tadi, memutuskan untuk mempertahankan kerajaan PN di negeri itu. 

Sementara itu, Nga yang juga Adun Aulong berkata, perlu ditegaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno adalah berpaksikan kepada prinsip utama iaitu membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip tatakelola yang baik (good governance).

Justeru katanya, satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat.

"Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran.

"Selain itu, muafakat tetap PH disanjung, agenda reformasi tetap didukung. DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru tanpa rakan-rakan komponen iaitu Amanah dan PKR," katanya yang juga anggota parlimen Teluk Intan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS