Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara tidak langsung mengesahkan parti itu mendapat sokongan daripada Bersatu dan PAS untuk mencalonkan Adun Kota Tampan, Saarani Mohammad, sebagai menteri besar baru Perak.
Bercakap kepada media selepas mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh hari ini, Ahmad Zahid berkata, sebelum ini dia sudah menyatakan keinginan Umno mempertahankan pakatan Perikatan Nasional (PN).
"Ertinya kerjasama pembentukan kerajaan ini adalah antara Umno, Bersatu dan PAS," katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta untuk mengadap Sultan Nazrin Shah menjelang jam 10 pagi tadi dan mempersembahkan nama calon menteri besar yang baru.
Kenderaan membawa ahli parlimen Bagan Datuk itu memasuki pekarangan istana menaiki Toyota Vellfire putih sebelum disusuli Saarani.
Hari ini merupakan pertemuan kedua mereka dengan Sultan Nazrin selepas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar pada 4 Dis lalu.
Malam tadi Umno memutuskan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang melibatkan Umno, PAS dan Bersatu dipertahankan.
Untuk rekod sebelum ini Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu diketepikan daripada jawatan sebagai menteri besar Perak melalui usul dibawa Adun Umno.
Dalam undian di DUN Perak pada 4 Dis lalu Adun Chenderiang itu hanya mendapat 10 undi yang menyokong berbanding 48 menolak usul percaya itu. Seorang lagi Adun berkecuali atau memberikan undi rosak.
Menjelang pengundian Adun Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berbahas, usaha menukar pemimpin kerajaan itu adalah suatu penderhakaan dan pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara.
Justeru katanya usul dibawa Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim, ke atas Ahmad Faizal itu memang tepat dan mesti disokong semua.
Menyusul kemudian ialah kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menyatakan parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri yang baru.
Ditanya mengenai sokongan yang diterima Umno, Ahmad Zahid berkata dia "amat yakin" Saarani mendapat sokongan mencukupi untuk dilantik menggantikan Ahmad Faizal.
"Itulah yang kita persembahkan (kepada Sultan Nazrin) dan saya amat yakin majoriti sokongan itu lebih daripada mencukupi," katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga menambah sebarang pengumuman mengenai isu itu akan dibuat pihak istana selepas ini.
"Pengumuman untuk nama menteri besar Perak akan dibuat oleh tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana," katanya.