Ahli Parlimen DAP, Tan Kok Wai memohon maaf kepada Annuar Musa kerana mendakwa 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual sejak dia menjadi menteri wilayah persekutuan.
Pada ciapan di Twitter, Annuar berkata ahli parlimen Cheras menemuinya di pejabatnya petang ini.
Katanya, pada pertemuan itu, Annuar Tan menyerahkan surat permohonan maaf dan menarik balik tuduhannya.
Pada 18 November, Malaysiakini telah melaporkan tuduhan Tan, yang dibuat semasa sidang media di parlimen.
Ketika disoal Malaysiakini, pengerusi DAP Wilayah Persekutuan itu tidak dapat memberikan senarai 42 petak tersebut tetapi dakwaannya berdasarkan mengenai bagaimana DBKL menerbitkan tiga notis untuk mengubah Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 beberapa bulan dulu.
Berikutan itu, Annuar yang juga setiausaha agung BN, berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan.
Ahli parlimen Ketereh itu berkata sejak dia menjadi menteri pada bulan Mac, dia tidak menerima sebarang permintaan mendapatkan persetujuannya daripada DBKL untuk menjual aset.
Mengulas permohonan maafnya, Tan berkata ia suatu tindakan yang betul.
"Saya mengaku membuat ulasan berdasarkan maklumat yang tidak betul. Jadi saya fikir sebagai seorang yang beradab tertib, mengetahui bahawa saya telah melakukan kesalahan, maka sangat tepat untuk saya mengemukakan permohonan maaf,” tambahnya.
Ketika ditanya jika Annuar menerima permintaan maafnya, Tan menjawab: “Itu tidak penting. Apa yang mustahak, ia satu tindakan yang betul daripada pihak saya."