Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Penjajaran baru dalam era politik transisi

ULASAN | Kita sekarang memasuki satu era politik transisi melampaui dwikrisis. Krisis politik Perak dan penjajaran semula parti-parti politik perlu dilihat dalam konteks cabaran besar yang dihadapi negara kita sekarang dan langkah ke hadapan untuk mengharungi era sedemikian.

Pada hemat saya, masalah terbesar yang dihadapi negara kita pada masa ini ialah bagaimana menangani ancaman wabak Covid-19 dengan berkesan dan krisis ekonomi.

Kedua-duanya menjejaskan kehidupan rakyat jelata, menambah bilangan mereka yang miskin dan terlantar bahkan memperosokkan seluruh rakyat dalam lingkaran satu tahun yang sangat suram.

Apa yang merisaukan ialah setakat ini kita belum nampak suatu sinar yang jelas di hujung terowong untuk tahun hadapan dan selanjutnya.

Memang kita akui pelbagai rancangan diumumkan tetapi terdapat ruang-ruang tertentu yang menimbulkan banyak pertanyaan dan pelaksanaannya belum pasti membawa pencapaian yang dikehendaki.

Tambahan pula, pada 4 Disember lepas, Fitch Ratings Hong Kong memberi penarafan rendah berkenaan kedudukan Malaysia, iaitu daripada A- kepada BBB+, paling rendah sejak krisis kewangan 1997/98, kerana kemerosotan tadbir urus dan ketidakstabilan politik yang berterusan.

Apakah isyaratnya? Isyaratnya ialah rakyat dalam negara dan pelabur asing memerlukan kestabilan politik dan tadbir urus yang baik supaya ekonomi dapat dibangunkan semula dan kehidupan rakyat terbela.

Malaysia sudah ketinggalan berbanding beberapa negara jiran yang dahulunya di belakang Malaysia.

Negara memerlukan suatu formula ampuh untuk merebut kembali statusnya sebagai kuasa ekonomi baru walaupun negara kecil.

Untuk itu, kita memerlukan kepimpinan sebuah kerajaan yang teguh, berprinsip dan stabil di peringkat pusat dan negeri, kepimpinan yang berwawasan, kepimpinan yang cekap serta memberi inspirasi dan meyakinan, pandai bersatu dengan semua kaum dan agama, serta gigih meneruskan usaha penambahbaikan atau pembaharuan institusi dan melawan rasuah dengan mantap dan tuntas.

Formula ini perlu dari peringkat negeri hingga ke Persekutuan, dari Perlis hingga ke Sabah.

Apakah penjajaran baru di Perak antara Umno-BN dengan PH boleh menyumbang ke arah ini? Apakah penjajaran baru ini boleh membuka kunci bagi kestabilan, kecekapan dan keutuhan masa hadapan Malaysia?

Pimpinan mereka harus bijak memecahkan kebuntuan ini dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta daya saing dan integriti negara.

Hubaya-hubayalah - kalau penjajaran baru ini tidak berasaskan prinsip serta rapuh dan gagal, kita menjadi seperti “walhasil balik asal”, atau “pi mai pi mai tang tu jugak”.


PROFESOR EMERITUS DR ABDUL RAHMAN EMBONG adalah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS