Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Bijakkah Umno, PH bentuk kerajaan campuran di Perak?

Apakah pilihan di hadapan Umno dan PH sekarang? Keputusan yang mesti dibuat sebelum hari Rabu mungkin mempunyai implikasi yang meluas melampaui negeri Perak.

Berikut adalah tiga pilihan:

Pilihan 1: Kekalkan gabungan Umno-Bersatu-PAS

Ini paling menguntungkan PAS dan Bersatu tetapi paling merugikan Umno.

PAS dan Bersatu dapat membuktikan bahawa naratif perpaduan melayu mereka mengatasi segala naratif lain, dan Umno merupakan rakan kongsi muda (junior partner) kepada dua parti Melayu yang lain, walaupun Umno mempunyai lebih banyak kerusi daripada Bersatu dan PAS, bukan sahaja di Perak, tetapi juga di Sabah.

Logiknya? Apabila dua parti Melayu dapat bekerjasama tetapi satu parti Melayu memutuskan untuk mengikut cara sendiri, maka jelasnya perpaduan Melayu telah dihancurkan oleh parti Melayu yang ketiga itu.

Yang dipertaruhkan melampaui siapa yang menjadi MB dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) di Perak, sebaliknya pasal pembahagian kerusi parlimen dalam PRU15 antara ketiga-tiga parti Melayu dalam PRU15 dan jawatan PM selepas PRU15.

Persoalannya hanya sebegitu: dalam perikatan ini, apakah jawatan tertinggi akan diberikan oleh parti yang memenangi kerusi terbanyak?

Bersatu telah memulakan peraturan ini di bawah PH untuk mengambil jawatan tertinggi walaupun mempunyai jumlah kerusi yang lebih kecil, bukan sahaja di Putrajaya tetapi juga di Perak dan Johor.

Ini telah dibalikkan di Johor selepas Langkah Sheraton tetapi Muhyiddin berjaya mengambil alih jawatan ketua menteri Sabah untuk Bersatu selepas pilihan raya negeri baru-baru ini meskipun Bersatu memenangi kurang kerusi (11) daripada Umno (14).

Kenyataan Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut daripada menghabiskan penggalnya (masih tinggal 30 bulan) adalah bertujuan untuk menolak Umno daripada jawatan tertinggi tersebut selama lima tahun lagi, dan kemudian membuka jalan kepada Azmin Ali.

Penghitungan Umno adalah betul-betul berlawanan: memenangi lebih banyak kerusi dan menawan semula jawatan PM.

Daripada 31 kerusi Bersatu, 15 telah dimenangi di bawah tiket Umno dan 10 di bawah tiket PKR. Umno mahu menawan 15 kerusi itu semula dan bersedia untuk menandingi Bersatu selain daripada PH dalam persaingan pelbagai penjuru jikalau Bersatu tidak mengalah.

Kerana tidak ingin Umno untuk memulihi kekuatannya sampai mengancam pertumbuhan PAS, PAS yang membentuk Muafakat Nasional dengan Umno selepas PRU14 dengan bijaknya kini memihak Bersatu dan menyertai PN tajaan Bersatu.

Bagi PAS, Bersatu kelihatan seperti Semangat 46, iaitu parti serpihan terakhir Umno, yang melalui perikatannya telah membenarkan PAS untuk menawan semula Kelantan pada tahun 1990 sebelum tutup kedai pada tahun 1996.

Dibawa ke hadapan oleh Umno dengan sokongan diam-diam daripada PH, Perak hanyalah medan awal antara ketiga-tiga parti Melayu yang bersaing untuk meraih kumpulan pengundi yang sama, iaitu orang Melayu yang konservatif dan nasionalis.

Sekiranya kerajaan Umno-Bersatu-PAS dipulihkan, ia bermaksud Umno takut dituduh sebagai pendosa yang memecahbelahkan perpaduan Melayu.

Jikalau sesungguhnya Umno telah berjaya dikawal secara diskursif oleh mantra Perpaduan Melayu, adakah Umno berani menentang perintah Muhyiddin mengenai pengagihan kerusi semasa PRU15?

Sekiranya Umno dapat menerima peranannya sebagai rakan kongsi muda Bersatu di peringkat nasional, Bersatu juga boleh menerima kedudukannya sebagai nombor dua di Perak. Sengketa dan kecewa atas undi tidak percaya ke atas MB Bersatu itu bolehlah disapu ke bawah karpet buat masa ini.

Pilihan 2: Gabungan besar Umno-PH

Ini akan menandakan berakhirnya naratif perpaduan Melayu dan membuka kemungkinan pakatan pilihan raya Umno-PH yang secara terbuka di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan di kawasan pilihan raya tertentu di negeri lain, dan kerajaan campuran selepas pilihan raya termasuk di peringkat nasional.

Ini akan mempunyai dua implikasi yang meluas di seluruh negara.

Pertama, Umno perlu henti menjahanamkan DAP dan naratifnya "Tiada DAP tiada Anwar", sementara itu DAP juga perlu menggambarkan Umno sebagai satu parti sederhana ketika PAS dan Bersatu mengambil pendirian keras terhadap alkohol dan liberalisme.

Ini akan mengurangkan permusuhan antara penyokong Umno dan DAP tetapi juga menimbulkan banyak kekeliruan dan kebencian terhadap pemimpin dalam kalangan anggota tegar mereka kerana pendamaian itu seolah-olah pengkhianatan. Perkara yang sama berlaku ketika DAP dan PAS berpakat mulai tahun 1990.

Berlawanan dengan pemikiran intuitif, gabungan Umno-DAP mungkin menjadi asas kerajaan yang lebih mantap kerana kawasan pilihan raya mereka tidak bertindih.

Jikalau Umno dan DAP seumpama dua orang lelaki yang memikat dua orang wanita berbeza, mereka boleh menjadi kawan baik walaupun kedua-dua wanita itu tidak semestinya suka sesama lain. Dua lelaki ini dapat bekerjasama tidak lain tidak bukan kerana mereka mempunyai citarasa yang berbeza. (Ya, perihal bahawa cita rasa yang sama boleh menyatukan parti-parti politik adalah cerita dongeng dalam politik.)

Cabaran kepada kedua-dua Umno dan DAP adalah bagaimana untuk tidak mengambil kedudukan dasar yang terlalu berbeza sehingga penyokong akar-umbi mereka akan membantah kuat persahabatan parti mereka dengan parti yang lain.

Ini bermaksud kedua-dua parti ini perlu menyederhanakan kedudukan dasar mereka dan lebih bertimbang rasa terhadap penyokong parti yang lain. Ini perkembangan baik untuk Malaysia kerana ia akan mengurangkan jarak dasar antara kedua-dua parti ini, yang kini berada di dua hujung spektrum kaum-agama.

Implikasi kedua adalah bahawa Umno akan diserang dengan ganas oleh askar propaganda PAS dan Bersatu.

Untuk menguji dan menceraikan bromance baharu Umno-DAP, konflik perkauman mungkin meletus untuk memaksa Umno kembali ke kedudukan asalnya dan menyebabkan DAP didakwa sebagai MCA 2.0 jikalau ia tidak mengkritik Umno.

Jikalau anda memerlukan peringatan, dalam masyarakat yang berpecah belah seperti Malaysia, kesederhanaan adalah seperti susu rendah lemak, kopi tanpa kafein, Coke Lite, dan bir tanpa alkohol, apa yang nampaknya lebih sihat tidak mempunyai keaslian dan tidak diminati pengguna-pengguna yang mempunyai cita rasa yang kuat.

Sekiranya bromance baharu diceraikan, kedua-dua Umno dan DAP akan dihukum dengan sekeras-kerasnya oleh penyokong mereka kerana penjajaran baru hanya dipuji sebagai genius apabila berjaya dan dikutuk sebagai dosa ketika gagal.

Pilihan 3: Kerajaan minoriti Umno atas CSA dengan PH

Pilihan ketiga adalah lebih transformatif tetapi lebih mantap. Umno boleh menubuhkan sebuah kerajaan minoriti sendiri dan menandatangani perjanjian kepercayaan dan belanjawan (confidence and supply agreement atau CSA) dengan PH.

DAP telah lama menyatakan apa yang diharapkannya sebagai ganti untuk menyokong satu kerajaan atas undi percaya dan undi belanjawan: reformasi dewan undangan, perundingan mengenai belanjawan dan dana kawasan pilihan raya yang sama.

Ini tidak dihiraukan oleh Muhyiddin yang percaya bahawa beliau akan mencapai kejayaan yang semakin besar dalam perjudian politik berturut-turut daripada mengambil satu insurans politik.

Umno dapat menjadi lebih pintar. Umno Johor sudahpun menunjukkan caranya. Diancam oleh pembalasan Bersatu, MB Johor, Hasni Mohammad telah meningkatkan dana kawasan pilihan raya Adun pembangkang daripada RM 50,000 dua bulan lalu sehingga RM 200,000 sekarang.

Beliau juga terbuka untuk mempunyai ahli pembangkang dalam jawatankuasa-jawatankuasa terpilih.

Secara ringkasnya, Umno Johor dan PH Johor telah berjanji satu CSA tanpa nama tersebut. Umno Perak dapat menjadi lebih berani, dengan menandatangani satu CSA terbuka dengan PH.

CSA sebenarnya merupakan pembahagian kuasa di Dewan Perundangan dan bukannya di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Daripada memberikan tiga hingga empat kerusi Majlis Mesyuarat kerajaan negeri kepada PH, Umno boleh mendapat semua kerusi tersebut - kuasa, martabat, dan imbuhan – tanpa dicederakan oleh tuduhan PAS dan Bersatu bahawa DAP akan menguasai kerajaan tersebut.

Sebagai pertukarannya, kerajaan minoriti Umno hanya menubuhkan satu jawatankuasa terpilih bagi setiap portfolio exco agar setiap ahli pembangkang dan backbencher kerajaan dapat menganggotai sekurang-kurangnya satu jawatankuasa pilihan untuk memantau pentadbiran kerajaan. Kuasa akan kekal dalam tangan Umno tetapi tidak dapat disalahgunakan.

Selanjutnya, semua Adun harus menerima dana kawasan pilihan raya yang saksama tanpa mengira parti-parti.

Bukankah ini satu perjanjian yang baik bagi Umno dan PH?

Daripada menghadapi kemarahan akar umbi oleh sebab bromance mendadak Umno-DAP yang terlalu drastik dan mengejutkan, Umno seharusnya menunjukkan bagaimana kerajaan minoriti dapat berfungsi dengan baik dalam satu badan perundangan pelbagai parti.

Tentunya, kecerdasan politik Umno Perak tidak kurang daripada Umno Johor. Tidak?

Lebih penting daripada Perak, ia akan membuka satu jalan bagi kebangkitan transformasi Umno dan satu masa depan baharu untuk demokrasi Malaysia.


PROFESOR WONG CHIN HUAT adalah seorang ahli sains politik lepasan Universiti Essex, UK, dengan pengkhususan dalam bidang institusi politik dan pertembungan antara kelompok.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS