Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan tanggung 30 peratus kos guaman kes MH17
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Kerajaan Malaysia menanggung 30 peratus daripada kos guaman perbicaraan pesawat MH17.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan bahawa peruntukan RM23.32 juta yang terdapat dalam butiran perbicaraan MH17 dalam belanjawan kementeriannya adalah untuk menampung kos tersebut bagi tahun hadapan.

“Kita mahu memastikan siapa yang bersalah akan dituduh di mahkamah. Proses mahkamah ini masih berjalan.

“Pada mulanya pihak berkuasa Belanda melakukan penyiasatan melalui Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) untuk (hal) teknikal, kemudian Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) untuk elemen jenayah.

“Kedua-dua ini dalam proses mahkamah. Tujuan kita untuk membelanjakan kos ini kerana ini ialah pesawat Malaysia. Kita nak pastikan mereka yang lakukan kesalahan dihadapkan ke pengadilan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanya berkenaan butiran berkenaan dan perkembangan perbicaraan berkenaan.

Kes tersebut masih dalam perbicaraan di Amsterdam.

Pesawat MH17 terhempas ketika di Ukraine Timur pada 2014 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan Belanda mendakwa pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK yang dilepaskan oleh kumpulan pro-Rusia di Ukraine, dari satu pangkalan tentera Rusia yang terletak di seberang sempadan.

Setelah hampir enam tahun kajian oleh penyiasat antarabangsa, empat defendan dibicarakan pada Mac atas kesalahan menembak jatuh pesawat MH17, yang mengorbankan semua 298 nyawa penumpang.

Sementara itu, Wee turut menjawab soalan beberapa ahli parlimen mengenai bantuan kepada pengusaha pengangkutan awam yang tersepit gara-gara Covid-19, contohnya pemandu teksi, e-hailing dan bas.

Katanya, kerajaan telah memberikan bantuan sekali bayar kepada pengusaha pengangkutan awam, contohnya RM600 yang dibayar kepada pemandu teksi, sebelum diluaskan kepada pemandu e-hailing sebanyak RM500.

Wee turut memberitahu bahawa kementerian telah membenarkan kenderaan awam untuk pengambilan penumpang digunakan untuk pengangkutan barangan.

Dalam musim Covid-19 juga, katanya, usia kenderaan awam turut dilanjutkan setahun secara automatik, berbanding usia asal 10 tahun yang ditetapkan untuk kenderaan pengangkutan awam sebelum ini.

Wee turut berkongsi bahawa kerajaan telah memberikan diskaun sebanyak 70 peratus selama dua bulan kepada pengusaha pengangkutan awam setelah menerima aduan bahawa mereka tidak dapat mendaftar dengan syarikat e-hailing kerana terdapat saman.

“Kita dapat, ada 300,000 orang ada saman, dia tak mampu bayar. Dia nak hantar barang makanan, nak mohon GrabFood (contohnya), tak boleh, lesen tak boleh diperbharui.

“Bila lihat keadaan ini semasa PKP, tak apalah, kita bagi (diskaun) 70 peratus.

“Dia boleh sara hidup. Atas dasar itu, kita bantu, beri pelepasan kepada mereka,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS