Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak lanjut PKPB pengakuan kerajaan tak mampu lagi bendung penularan Covid-19'
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 10:05 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Keputusan kerajaan untuk tidak lagi melarang rentas negeri serta tidak lagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri meski jumlah jumlah kes aktif Covid-19 yang tinggi merupakan "pengakuan" ia tidak lagi dapat membendung penularan tempatan virus itu, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

"Jadi, sasaran kerajaan sudah bertukar dari memutuskan rangkaian Covid-19 sepenuhnya kepada mitigasi penularan Covid-19 agar jumlah kes tidak mencanak naik berlipat ganda sambil menunggu vaksin sampai ke Malaysia.

"Amat sukar untuk kata pendekatan baru ini adalah betul atau salah sebab realitinya ialah ekonomi negara sudah tidak dapat bertahan lagi dan ramai rakyat juga sudah tak tahan dengan PKPB berterusan," katanya dalam kenyataan di Facebook

Justeru, kata ahli parlimen Pekan itu, kerajaan dijangka akan membatalkan lebih banyak lagi larangan ke atas sektor-sektor ekonomi dan kegiatan sosial tidak lama lagi.

Namun, Najib berkata, beradasarkan data rasmi, Malaysia telah mendahului Indonesia dari segi perkadaran kes Covid-19 mengikut nisbah populasi, dan Malaysia juga dijangka mencatat kes melebihi China dalam 10 hari akan datang..

"Setakat ini, Malaysia telah mencatat 2,234 kes bagi setiap satu juta penduduk berbanding 2,096 kes di Indonesia," katanya.

Kata Najib, situasi ini akan menyukarkan negara lain untuk membenarkan warganya mengunjungi Malaysia untuk bercuti, dan begitu juga bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk mengunjungi negara lain.

Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa perjalanan antara daerah dan antara negeri kini dibenarkan di seluruh negara kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Mengulas lanjut, Najib menekankan bahawa sekiranya benar ini pendekatan baru yang ingin diambil, kerajaan harus memastikan bahawa kemudahan rawatan dan kuarantin mencukupi.

Selain itu, tambah Najib, kerajaan harus lebih berusaha berunding dengan pembekal vaksin lain untuk memastikan rakyat akan mendapat vaksin seawal mungkin tahun depan.

"Pada masa yang sama, kesedaran serta disiplin rakyat untuk sentiasa mematuhi SOP dalam norma baru ini perlu sentiasa tinggi - terutamanya bagi mereka yang telah berumur yang lebih terancam oleh Covid-19," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS