Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Keutamaan kini adalah pematuhan SOP Covid-19

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik penarikan balik larangan rentas daerah dan negeri di bawah garis panduan baru seperti diumumkan kerajaan semalam.

Presidennya, Prof Dr M Subramaniam berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai.

“Negara tak mampu menghadapi sekatan (pergerakan) setiap kali ada lonjakan kes.

“Dari awal lagi, tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha mencegah lonjakan (kes), dan satu-satunya cara dapat dicapai adalah melalui pematuhan SOP dengan tegas," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut Dr Subramaniam, pihaknya yakin keputusan terbaru itu dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memantau dan meneliti data sewajarnya berhubung situasi Covid-19 di negara ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak akan disambung di kebanyakan tempat setelah tamat semalam, kecuali di beberapa tempat seperti Sabah, Kuala Lumpur, sebahagian besar Selangor dan sebahagian daerah di Johor dan Negeri Sembilan.

Meskipun PKPB dilanjutkan di sebahagian tempat, tidak seperti sebelum ini, rentas daerah dan negeri tidak lagi dilarang bermula hari ini, kecuali di kawasan di bawah PKP diperketatkan (PKPD).

Ini termasuklah perjalanan ke Sabah yang dibenarkan di bawah garis panduan baru, yang memerlukan individu yang mahu membuat perjalanan menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke negeri itu.

Sekatan jalan raya polis juga tidak lagi dilakukan, sebaliknya penguatkuasaan SOP terhadap penjarakan fizikal akan ditingkatkan.

Ismail berkata kerajaan mengambil keputusan sedemikian kerana negara bakal mengalami kerugian sehingga RM300 juta sehari jika PKPB diteruskan dan akan menjejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sesetengah pihak mendakwa garis panduan itu tidak banyak bezanya dengan garis panduan di bawah PKP pemulihan (PKPP), meskipun sebahagian tempat masih berada di bawah PKPB.

Mengulas lanjut, Subramaniam mengingatkan rakyat tentang kepentingan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, lebih-lebih lagi larangan perjalanan kini sudah dibenarkan dan perjalanan antara negeri dijangka meningkat dalam beberapa minggu yang akan datang.

Jika tidak, katanya, kes akan kembali meningkat dan larangan perjalanan boleh dikenakan semula.

“Kadar pematuhan SOP kita mesti berada pada paras yang meyakinkan," katanya.

Untuk itu, katanya, MMA mencadangkan kerajaan menetapkan tanda aras untuk pematuhan SOP, lengkap dengan laporan mingguan untuk tujuan pemantauan kemajuan.

Data yang diperoleh daripada data itu, katanya, boleh digunakan untuk membantu kerajaan membuat penguatkuasaan lebih ketat di kawasan-kawasan yang menunjukkan pematuhan SOP yang lemah.

“Usaha penguatkuasaan juga mestilah digiatkan atau (pematuhan) SOP akan dipandang enteng,” katanya lagi.

Dalam kenyataan terbaru semalam, Ismail memaklumkan jumlah orang ingkar arahan PKP terus mencatat angka yang tinggi, iaitu seramai 518 ditahan semalam dengan 517 daripadanya dikompaun, manakala seorang lagi direman.

Kes tertinggi ialah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS