Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun DAP tak akan sokong calon MB dari Umno
Diterbitkan:  Dec 6, 2020 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Adun Pokok Assam daripada DAP, Leow Thye Yih hari ini menjarakkan diri daripada pendirian Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang sedia bekerjasama dengan Umno dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Dalam kenyataan hari ini, Leow berkata dia tidak akan menyokong mana-mana calon menteri besar daripada Umno dan menggesa para Adun DAP lain di negeri itu untuk turut mengambil pendirian itu.

Leow mengimbau bagaimana dia mengambil keputusan untuk menyertai DAP ekoran BN yang diketuai Umno menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dalam krisis pada 2009.

Dalam krisis berkenaan, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat digulingkan selepas tiga Adunnya menyokong BN, hanya selepas sembilan bulan berkuasa.

Kali ini, katanya, setelah PH mencipta sejarah menumbangkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, Umno sekali lagi merampas kerajaan pusat daripada PH.

Malah, katanya, Umno turut merampas kerajaan negeri Perak serta beberapa kerajaan negeri yang ditadbir PH, tindakan yang menurutnya "jelas menderhakai" mandat rakyat.

“Kedua-dua peristiwa tersebut mengingatkan diri saya bahawa saya tidak akan menyokong mana-mana calon daripada Umno sebagai menteri besar Perak yang berikutnya.

“Saya menyeru rakan-rakan sepejuangan DAP khasnya Adun-Adun DAP Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada Umno sebagai menteri besar Perak berikutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Nga memberikan pandangan senada dengan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi untuk terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam membentuk kerajaan baru.

Nga Kor Ming

“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat, dan stabil.

“Saya terbuka dengan sebarang perbincangan yang membina. Kami bersedia,” kata Nga.

PKR dan Amanah Perak turut berpandangan sama.

Leow sememangnya mempunyai sejarah berselisih dengan Nga. Pada September 2019, dia dan seorang lagi Adun DAP, Leong Cheok Keng (Malim Nawar) meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa DAP Perak.

Keputusan itu sebagai protes terhadap kenyataan Nga berhubung kes tuduhan rogol yang dihadapi oleh Paul Yong Choo Kiong ketika itu.

Perak kini tiada menteri besar, apabila Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatannya susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya dalam sidang DUN 4 Dis lalu.

Dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya yang dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Ahmad Faizal mendapat hanya 10 undi sokongan, sementara 48 lagi undi menolak usul percaya itu, manakala satu undi rosak dan satu undi berkecuali.

Umno memiliki 25 kerusi dalam kerajaan negeri Perak yang mempunyai jumlah keseluruhan 59 kerusi, manakala DAP pula memiliki 16 kerusi, selain Bersatu (5 kerusi), Amanah (5 kerusi), PKR (3 kerusi), PAS (3 kerusi), Gerakan (1 kerusi) dan satu Adun bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS