Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tegur-tegurlah mantan menteri besar anda ini...'

Walaupun tidak lagi menjadi menteri besar Perak, perjalanan masih panjang, kata Ahmad Faizal Azumu.

Namun jika bertemu di mana-mana, kata timbalan presiden Bersatu itu, dia meminta agar terus disapa kerana menganggap semua orang adalah saudaranya di dunia dan akhirat.

"Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan menteri besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang daripada anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat,.

"Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi," katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal - yang lebih mesra dikenalli sebagai Peja - sebelum itu mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh, untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar.

Ia berlaku selepas usul undi percaya kepada Ahmad Faizal - yang dibawa oleh wakil rakyat Umno - gagal mendapat sokongan majoriti, sekali gus menunjukkan dia tidak lagi layak menjadi menteri besar.

Ahmad Faizal yang juga ahli parlimen Tambun hanya mendapat 10 undi menyokong berbanding 48 sebaliknya. Seorang lagi Adun memberikan undi rosak atau berkecuali.

Setakat ini belum dipastikan siapa bakal menggantikan Ahmad Faizal kerana tiada parti yang jelas mempunyai kerusi majoriti dalam DUN Perak dan untuk membentuk kerajaan memerlukan sokongan parti lain.

Terdahulu Ahmad Faizal meminta maaf jika sepanjang tempoh berkhidmat sebagai menteri besar dia ada melakukan kesilapan.

"Saya telah cuba lakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, tentu ada berlaku salah dan silap. Maka ampun dan maaf daripada saya.

"Saya sentasia mendoakan agar Perak dirahmatai Allah dan dijauhi daripada segala bala bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagian dunai akhirat," katanya.

Suasana sidang media itu juga sempat diwarnai dengan suasana sedih apabila Ahmad Faizal kelihatan sebak semasa memberikan penghargaan kepada isteri, keluarga, penyokong dan ahli Bersatu yang bersama dengannya.

"Insya-Allah kita akan teruskan perjuangan menentang kemungkaran, memberi khidmat kepada rakyat, demi rakyat kerana Allah.

"Saya mohon mengundur diri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS