Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Johor akan teliti jika Bersatu ada 'usul balas dendam'
Diterbitkan:  Dec 5, 2020 3:23 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan kerajaan jika ada sebarang "usul balas dendam" daripada Bersatu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Dalam satu kenyataan bersama membabitkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pihaknya mengambil maklum sekiranya Bersatu mahu melakukan tindakan sama yang dibuat Umno di Perak.

"Berkaitan laporan berita oleh portal Utusan Malaysia pagi ini. Osman Sapian berkata, MB Johor boleh terima nasib sama seperti Ahmad Faizal Azumu kalau 12 Adun Bersatu di negeri ini 'balas dendam' melalui usul undi percaya.

"Esok adalah hari terakhir sidang Dun Johor. Sebarang langkah atau usul yang ingin dibangkitkan oleh Adun Bersatu akan disaksikan pada esok hari.

"Kami berpendirian sebarang usul atau langkah yang bakal dibawa oleh Adun Bersatu esok akan diteliti oleh PH Johor dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan negeri," katanya satu kenyataan bersama, hari ini.

Terdahulu, Osman yang juga Adun Bersatu Kempas, membayangkan apa yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di Johor.

Ini selepas timbalan presiden Bersatu itu digulingkan sebagai menteri besar Perak semalam.

Kata Osman, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad yang berasal dari Umno.

Osman berkata dia terkejut apabila Faizal digulingkan kerana Umno dan Bersatu telah menjadi anggota gabungan yang sama yang membentuk kerajaan persekutuan dan negeri selama lapan bulan.

Dalam kenyataan itu juga, PH Johor berkata peranan mereka dalam mempengaruhi sebarang usul cukup signifikan memandangkan mereka mempunyai 25 Adun.

"PH Johor memiliki 27 Adun. Jumlah ini signifikan dalam setiap usul yang ingin dikemukakan di Dewan Negeri Johor," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS