Tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengguna pakai perumpamaan 'minum todi' yang ditujukan kepada pengkritiknya yang beragama Hindu tidak dapat diterima pemimpin MIC.
Ini selepas Sanusi pada malam tadi menegur, termasuk kepada MIC dan DAP supaya jangan sampai mereka bergaduh pada masa depan hanya kerana 'mabuk todi populariti' dan mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang.
Mengulas perkara itu, Presiden MIC S Vigneswaran berkata dia tidak mahu bertindak serendah Sanusi.
"Saya kalau nak menghina seperti dia, saya pun boleh. Tetapi saya tak mahu jadi serendah dia dan berfikiran sempit.
"Apa dia ingat semua orang mabuk? Kalau seorang terlibat dalam kes seks, semua orangpun akan terlibat jugakah," soalnya.
Vigneswaran turut meluahkan rasa kecewa terhadap Sanusi, berkata pemimpin PAS itu telah merosakkan semua kerja kerasnya untuk meyakinkan masyarakat India supaya memilih parti politik itu.
MIC dan PAS berada di kapal yang sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah pada Selasa telah merosakkan hubungan mereka.
Kuil yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu dirobohkan selepas tapak tersebut - yang dimiliki kerajaan negeri - mahu dibangunkan.
Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.
BACA BERKAITAN: Bantah roboh kuil: Jangan minum sebotol, mabuk dua tiga botol - Sanusi
Timbalan Presiden MIC, S Saravanan ketika dihubungi turut menyifatkan Sanusi sebagai tidak beradab apabila menggunakan analogi todi dalam kenyataannya.
"Komen menteri besar ini menunjukkan dia punya tahap kematangannya dalam politik. Seorang ahli PAS yang kuat agama bertindak macam orang yang tidak ada tamadun.
"Apa yang dia cakap menunjukkan bahawa dia mempunyai mentaliti yang rendah.
"Saya tidak hairan. Apa lagi yang boleh kita harapkan daripada seseorang yang tiba-tiba dapat jawatan," katanya kepada Malaysiakini.
Sanusi, yang juga Adun Jeneri, dilantik sebagai MB Kedah pada Mei lalu selepas Mukhriz Mahathir hilang kepercayaan majoriti DUN.
Saravanan sebaliknya menyifatkan PAS sekarang sedang "mabuk politik."
"Mabuk dengan todi lebih baik daripada mabuk politik. Dalam politik, PAS sudah 'tidur' dengan semua parti. Tinggal satu parti saja dia tak tidur, parti komunis," katanya.
Sementara itu, pemimpin DAP P Ramasamy turut mengecam Sanusi kerana menggunakan analogi minum todi berhubung kritikan terhadap tindakan merobohkan kuil di Kedah.
Sanusi pula dikata khayal ganja, heroin
“Komen beliau yang kami mabuk populariti todi, mencetuskan ketegangan agama dalam kalangan India di negeri itu.
“Cara Sanusi guna analogi minum todi untuk menyifatkan tindakan pemimpin MIC dan DAP, tidak sepatutnya digunakan oleh seorang menteri besar.
“Kalau India dikaitkan dengan minum todi, maka tidak keterlaluan jika saya katakan Sanusi khayal ganja dan heroin kerana merobohkan rumah ibadat Hindu tanpa belas kasihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramasamy turut memberi amaran Sanusi mungkin menerima nasib sama, disingkirkan daripada jawatannya, merujuk kepada Ahmad Faizal Azumu yang hilang sokongan dan terpaksa meletak jawatan menteri besar Perak semalam.
“Saya hendak nasihatkan Sanusi supaya jangan bermain api dengan memusnahkan kuil Hindu dan rumah ibadat atas alasan dibina secara haram,” katanya.
Sanusi hari ini menegaskan isu perobohan kuil hindu pada 1 Dis lalu adalah "isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi."
Sanusi juga membidas "pihak berkepentingan" yang mengapi-apikan kekecohan berhubung isu ini.
Menurut Sanusi, langkah perobohan itu dibuat supaya tataletak setiap binaan struktur di semua tempat patut berada pada tempatnya secara sah dan terkawal menurut garis undang-undang dan pentadbiran yang diletakkan di bawah agensi kerajaan.