Bersatu menyatakan rasa kesal dengan penggulingan wakil rakyat mereka, Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.
Dalam kenyataan media malam ini, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin mengucapkan terima kasih kepada Adun yang menyokong Ahmad Faizal dalam undian usul keyakinan hari ini.
"Biro Politik Bersatu dalam mesyuarat petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam
persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini.
"...Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 4 Adun Bersatu, 3 Adun PAS, 1 Adun UMNO dan 2 Adun Bebas yang menyokong usul keyakinan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak," kata kenyataan itu.
Hamzah turut menegaskan bahawa Bersatu berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti kerajaan Perikatan Nasional.
"Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama PAS dan teman-teman parti anggota Perikatan Nasional yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya," tambahnya.
Pada sidang DUN Perak pagi tadi, Faizal yang juga Adun Chenderiang dan Timbalan Presiden Bersatu mengumumkan akan berundur daripada jawatannya.
Ini setelah dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi keyakinan yang diusulkan oleh Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashimdari Umno.
Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Untuk rekod, Umno memiliki 25 Adun dan PAS pula hanya tiga. Ia bermaksud sebahagian besar - atau mungkin semua - Adun Umno mengundi untuk menolak usul yang dibawa wakil mereka.