Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan pilihan kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka secara 'one off'.
Zahid berkata keputusan KWSP mengenakan syarat pengeluaran amat berbeza dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz sebelum ini.
"Saya mendengar dan membaca semua keluhan dan suara hati rakyat yang kecewa dengan syarat-syarat dikenakan pihak KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar Akaun 1 KWSP.
"Ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan oleh menteri kewangan ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan Negara 2021 tempoh hari.
"Justeru itu saya meminta pihak KWSP untuk mempermudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat dan diberikan pilihan untuk mengeluarkannya secara one-off sebanyak RM10,000 maksimum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zahid turut berkata ahli-ahli parlimen BN dan Umno termasuk sayap-sayap pergerakan pemuda dan puteri bertegas dalam memperjuangkan isu tersebut.
Pada 2 Dis lalu, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1 melalui skim i-Sinar yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19.
Perincian itu diumumkan seminggu selepas Tengku Zafrul bersetuju gesaan beberapa pemimpin termasuk dari Umno untuk memperluaskan program berkenaan.
Bagaimanapun, pembayaran bagi ahli yang layak akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.
Semalam bekas perdana menteri Najib Razak berkata tempoh masa pengeluaran i-Sinar dilihat tidak munasabah.
“Adakah munasabah bagi mereka yang ‘tengah lemas’ untuk tunggu tiga bulan lagi sehingga akhir Febuari sebelum mendapat pelampung?
“Ramai yang sudah tunggu sejak bulan Oktober apabila saya dan Umno mula menyuarakan saranan ini.
“Tetapi pengumuman KWSP semalam bagi kategori 2 bermaksud: Ramai yang terdesak sudah tunggu sejak bulan Oktober, mereka perlu tunggu sehingga 11 Januari 2021 untuk memohon dengan pelbagai bukti dokumen," tulis Najib di Facebook.