Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
23 MP jadi saksi dakwa timbalan menteri tunjuk jari tengah
Diterbitkan:  Dec 4, 2020 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Sebanyak 23 ahli parlimen pembangkang dan bebas menandatangani kenyataan saksi bersama berhubung dakwaan yang mengatakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin (PN-Puncak Borneo) menunjukkan isyarat jari tengah sebanyak dua kali kepada anggota parlimen lain pada 1 Disember.

Kenyataan saksi bersama itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada 2 Disember untuk menyokong satu usul yang dikemukakan pada hari yang sama oleh Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Khoo sebelum ini membawa satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) meminta Willie dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas sikap tidak senonoh di dewan.

Antara wakil rakyat yang menandatangani kenyataan saksi tersebut adalah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan), RSN Rayer (Jelutong), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Thomas Su (Kampar), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Yeo Bee Yin (Bakri) dan Wong Chen (Subang), Ong Kian Ming (Bangi) dan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu).

Amiruddin Hamzah adalah satu-satunya ahli parlimen dari Pejuang menandatangani keterangan saksi. Sementara ahli parlimen bebas Maszlee Malik (Simpang Renggam) turut menandatangani kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan mereka, 23 anggota parlimen itu juga mendakwa bahawa tingkah laku Willie adalah lucah, biadab dan bersifat menghina Dewan Rakyat.

Mereka juga menuduh bahawa Willie berbohong di Dewan Rakyat dengan menafikan insiden tersebut.

"Kami bersedia memberi keterangan lebih lanjut di hadapan speaker. Kami dengan ini meminta speaker untuk mengambil tindakan tegas terhadapnya untuk menegakkan kesucian Dewan Rakyat," kata mereka.

Willie didakwa menunjukkan jari tengah semasa ahli parlimen bersiap sedia untuk undi belah bahagi, selepas ahli parlimen Bersatu itu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bersorak 'pengkhianat' yang ditujukan kepada ahli parlimen Puncak Borneo itu.

Bagaimanapun, Azhar berkata dia tidak nampak perbuatan tersebut dilakukan oleh Willie.

Speaker itu juga mengatakan dia telah meneliti rakaman video beberapa kali termasuk dalam gerakan perlahan, tetapi tidak dapat memastikan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

Azhar juga mengatakan dia telah meminta penjelasan Willie sendiri, yang menafikan perkara itu.

Pada Feb 2018, Willie adalah antara 10 Ahli Parlimen yang melompat dari PKR dalam gerakan politik yang dikenali sebagai "Langkah Sheraton", yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Willie adalah ahli parlimen penggal pertama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS