Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terlalu awal untuk mengatakan semua wakil rakyat dari parti Amanah akan menyokong menteri besar baru Perak, kata Adun Sungai Rapat Mohammad Nizar Jamaluddin.

Jelas Nizar, setakat ini juga, masih tiada perbincangan berhubung pemilihan calon jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu.

“Yang ini (sokongan Amanah kepada menteri besar baru) terlalu awal untuk dikatakan. Sebab setakat ini tiada lagi perbincangan apa-apa.

“Terlalu awal untuk buat keputusan sokong menteri besar baru atau tidak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Dia berkata demikian selepas ditanya sama ada Adun Amanah akan menyokong calon menteri besar baru susulan kegagalan Ahmad Faizal Azumu dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya berbanding 10 yang menyokong Adun Chenderiang itu. Satu undi rosak atau berkecuali.

Umno dan DAP mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak, iaitu masing-masing 25 dan 16 kerusi.

Amanah mempunyai lima kerusi, diikuti Bersatu (6), PKR dan PAS masing-masing tiga kerusi dan bebas satu.

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Umno memerlukan sokongan PH untuk memilih menteri besar baru jika gagal mendapat sokongan Bersatu dan PAS.

Sementara itu, Nizar turut menjelaskan dia bersama Adun Amanah yang lain sudah diarahkan oleh presiden parti negeri mereka untuk menolak usul percaya terhadap Faisal hari ini.

“Kami lima Adun memang diarahkan oleh presiden Amanah (Mohamad Sabu) untuk menolak usul itu, kami tolak kerana ini merupakan keputusan pimpinan PH.

“Keseluruhan dari 24 Adun dari DAP, PKR dan Amanah,” katanya lagi.

Selain Nizar, empat lagi Adun Amanah di Perak adalah Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor, Aminuddin Zulkipli (Behrang) Muhd Fadhil Nuruddin (Kamunting) dan Asmuni Awi (Manjoi).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS