Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Sultan Ibrahim ingatkan rakyat waspada, jangan ambil mudah
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengingatkan agar rakyat di negeri itu, untuk sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah terutama dengan peningkatan kluster baru Covid-19 yang dikesan di Johor.

Menerusi hantaran di laman rasmi Facebook Sultan Johor baginda bertitah, masyarakat perlu terus mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Titah Sultan Ibrahim, antara langkah pencegahan yang perlu sentiasa diamalkan rakyat dalam memutuskan rantaian wabak itu termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membasuh tangan dengan kerap, selain menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pada masa sama, masyarakat diingatkan supaya mengelakkan daripada menganjurkan sebarang majlis yang boleh mengundang kepada orang ramai berkumpul (di sesuatu tempat), berikutan dikhuatiri terdedah kepada risiko (dijangkiti). (Oleh itu) janganlah leka atau memandang ringan akan penularan wabak berkenaan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes, seterusnya menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat.

“Masyarakat juga perlu saling menjaga kesihatan anggota keluarga dengan mengamalkan SOP serta bagi mengelakkan terdedah kepada bahaya jangkitan,” titah Baginda.

Baginda bertitah penularan wabak Covid-19 ini merupakan ujian daripada Allah kepada hambaNya di muka bumi ini, namun setiap ujian yang melanda pasti mempunyai hikmah tersendiri.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS