Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan layan kami macam hamba - persatuan pekerja asing

Tidak dibenarkan menyimpan telefon bimbit sendiri, tidak dibayar gaji, pasport disimpan majikan sepanjang masa dan tiada cuti antara aduan yang sering diterima oleh persatuan pekerja domestik Indonesia dan Filipina di Malaysia.

Menurut Ahli Lembaga Persatuan Rumah Tangga Indonesia (Pertimig) di Malaysia, Nasrikah, isu keganasan terhadap pekerja domestik di negara ini bukanlah masalah baru tetapi ia sering terjadi dan akan berterusan disebabkan corak pemikiran majikan terhadap pekerja mereka.

“Corak pemikiran majikan terhadap pekerja perlu diubah bahawa pekerja domestik juga merupakan pekerja biasa.

“Tolonglah layan kami seperti pekerja lain. Tolong layan kami seperti manusia bukannya macam hamba,” katanya dalam sidang media atas talian berhubung keganasan terhadap pekerja domestik hari ini.

Oleh itu dia berkata sudah tiba masanya kerajaan Malaysia memberi perlindungan terhadap pekerja domestik dan tidak mendiskriminasikan mereka.

Penasihat Kumpulan Pekerja Domestik Filipina (Ammpo), Liezl Galdo menggesa supaya pemeriksaan secara rawak terhadap pekerja domestik dilakukan oleh pihak berkuasa supaya keadaan mereka dapat dipantau dan tidak diperlakukan sewenang-wenangnya oleh majikan.

Sambil menyorot kisah keganasan terhadap Nirmala Bonat pada 2004 dan Adeline Lisao pada 2018, Liezl berkata keganasan terhadap pekerja domestik akan terus berlaku apabila tiada pemeriksaan yang sepatutnya dibuat.

Untuk rekod, Nirmala yang merupakan pembantu rumah dari Indonesia ketika itu pernah didera dan dicederakan beberapa kali oleh majikannya, antaranya menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya.

Sementara Adelina pula mengalami kecederaan akibat didera secara fizikal dan dibiarkan tidur di tempat letak kereta di rumah majikannya sebelum mangsa diselamatkan dengan campur tangan ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pada 10 Feb 2018.

Nirmala Bonat 

Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya selepas dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam.

“Seperti apa yang Nasrikah katakan tadi, layanlah kami seperti manusia. Kami migran datang (bekerja) ke sini untuk mencari masa depan yang lebih baik, bukannya untuk dilayan dengan kejam.

“Kami tidak layak menerima seksaan atau layanan sedemikian oleh rakyat Malaysia,” kata Liezl.

Halangan berkomunikasi

Sidang media itu turut menyentuh kes seorang pekerja migran yang hanya dinamakan sebagai MH, diselamatkan oleh pasukan polis bulan lalu selepas wanita itu didapati didera oleh majikannya.

Badan mangsa melecur akibat dicurah air panas dan juga dipercayai dibiarkan berlapar dan didera dengan teruk oleh majikannya sewaktu tempoh dia bekerja.

Mengulas lanjut mengenai aduan yang sering Pertimig dan Ammpo terima dari pengadu, Nasrikah berkata antaranya majikan hanya membenarkan pekerja mereka berkomunikasi dengan keluarga sebanyak sebulan sekali.

“Itu pun hanya menggunakan telefon majikan. Jadi sekiranya terjadi apa-apa terhadap mereka, ia sangat sukar untuk mereka membuat aduan,” katanya.

Tambahnya, Pertimig juga menerima aduan majikan menahan gaji pekerja dengan alasan akan tunggu sehingga mereka tamat kontrak.

“Kami juga menerima aduan berkenaan tiada cuti diberikan. Sesetengah majikan tidak membenarkan pekerja domestik Indonesia keluar kerana mereka takut pekerja tersebut akan melarikan diri,” katanya.

Liezl pula berkata, selain isu cuti dan gaji yang sering dibangkitkan, Ammpo juga berkata pihaknya turut menerima aduan pasport pekerja disimpan oleh majikan sehingga menyukarkan pekerja ketika berdepan dengan pihak berkuasa apabila berada di luar.

“Apabila ini terjadi dan mereka didekati oleh polis dan bertanyakan pasport mereka, pekerja ini tidak dapat menunjukkan pasport mereka kerana majikan menyimpannya,” katanya.

Pada masa sama, sidang media yang dianjurkan oleh Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh dan Gabungan Ke Arah 189 (LLRC) turut menuntut kerajaan supaya bertindak dalam mengekang isu ini dengan menambah baik sistem pemeriksaan terhadap pekerja asing dan melindungi kebajikan mereka.

Pengerusi LLRC, N Gopal Krishnam antaranya menggesa kerajaan supaya meratifikasika Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap pekerja domestik dan menguatkuasakan undang-undang terhadap majikan yang bertindak ganas, serta lindungi hak mangsa dengan memberikan bantuan perundangan dan kaunseling.

“Kita juga gesa kerajaan mewujudkan sistem pemeriksaan (terhadap pekerja domestik) yang berkesan dan menjalankan pemeriksaan tanpa notis secara berkala di tempat kerja mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS