Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah beri kelulusan syarikat tempatan teroka mineral baru

Sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah dianugerahkan permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak sumber mineral jenis ‘rare earth elements’ (REE) di negeri ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kedah memiliki deposit mineral itu dianggarkan berjumlah RM62 bilion di seluruh negeri dan syarikat berkenaan diberi kelulusan itu pada minggu lepas untuk melakukan kerja-kerja penerokaan di satu kawasan di negeri ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan anggaran nilai deposit mineral terbabit yang terdapat di kawasan berkenaan dan bila syarikat tersebut akan menjalankan penerokaan.

"Syarikat tempatan itu turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah firma antarabangsa untuk penerokaan tersebut. Mereka akan menjalankan kerja-kerja penerokaan di Sik," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, hari ini.

Menurutnya, syarikat berkenaan akan melaksanakan kerja penerokaan dan aktiviti mengekstrak mineral itu tanpa melibatkan kaedah perlombongan.

Muhammad Sanusi berkata mineral tersebut juga disifatkan sebagai tidak beradioaktif dan mendapat permintaan tinggi terutama dalam sektor pembuatan komponen barangan teknologi digital seperti telefon pintar dan komputer riba.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya berharap kerajaan Persekutuan dapat merangka satu dasar yang bersesuaian berhubung penerokaan mineral agar kekayaan sumber asli itu dapat dinikmati oleh rakyat di negeri yang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan Qatar Airways bagi membawa pelancong secara terus ke Langkawi dari negara yang berkategori hijau kes COVID-19.

Katanya, langkah itu sebagai usaha untuk merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau peranginan itu dan syarikat penerbangan tersebut juga katanya telah menyatakan kesediaan untuk membina sistem yang akan memastikan setiap pelancong menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memasuki Langkawi.

“Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau pada dasarnya bersetuju dengan cadangan berkenaan. Cuma beliau meminta kita meneliti polisi semasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS