PARLIMEN | Menteri di JPM Takiyuddin Hassan berkata dalam proses itu, pandangan masyarakat sivil diambil kira bagi kepentingan awam dan negara.
Kerajaan sentiasa mengkaji perundangan-perundangan sedia ada termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk penambahbaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata dalam proses itu, pandangan masyarakat sivil diambil kira bagi kepentingan awam dan negara.
"Saya merasakan kerajaan tidak mempunyai masalah terutama sekiranya pandangan diberikan masyarakat sivil untuk kita menambah baik perundangan sedia ada," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda atau memansuhkan OSA serta melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat khususnya bagi melindungi pemberi maklumat (whistleblowers).
Takiyuddin berkata pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik (in good faith) dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang telah berkuat kuasa pada 15 Dis 2010.
Beliau berkata mereka mendapat perlindungan dari segi maklumat sulit seperti identiti, alamat dan pekerjaan; kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan memudaratkan terhadap dirinya dan mana-mana orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengannya.
Mengulas lanjut, beliau berkata objektif akta itu adalah bagi memerangi rasuah dan salah laku lain dalam sektor awam dan swasta dengan menggalakkan dan memudahkan orang awam mendedahkan perbuatan itu.
Perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat adalah melalui agensi penguatkuasaan merangkumi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Imigresen Malaysia; Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
- Bernama