Sebuah rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan pekerja asing didera anggota keselematan tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang awam.
Video berkenaan dipautkan di akaun Facebook bersama gambar pekerja asing berkenaan dan kad pekerja kilang sarung tangan, Top Glove.
Dalam video itu, seorang lelaki dilihat berguling di atas tanah, manakala seorang lelaki lain berdiri di sampingnya dengan memegang alat yang kelihatan seperti cambuk.
Lelaki berkenaan dilihat memakai pakaian tentera, manakala kedua-duanya memakai pelitup muka.
Satu sumber yang mengetahui insiden itu memberitahu Malaysiakini bahawa pekerja berkenaan berasa takut tetapi "mahu video itu disiarkan dan penderaan itu dihentikan."
Sumber itu berkata pekerja terbabit dikatakan dihukum kerana melanggar perintah kuarantin.
"Kuarantin kelihatan seperti (di Top Glove di) Meru, para pekerja kata ia berlaku sekali sekala tetapi mereka sangat takut untuk bersuara.
"Pihak berkuasa sangat kejam," kata mereka.
Ketua Polis Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh meminta mangsa tampil untuk membuat laporan.
"Setakat ini kami belum terima laporan. Kami minta mangsa atau orang lain (yang terlibat) tampil untuk buat laporan, dan kami akan buka siasatan," katanya kepada Malaysiakini.
Pengarah eksekutif Inisiatif Utara Selatan, Adrian Pereira meminta tindakan segera diamb il berhubung insiden itu.
"Penganiayaan dan penderaan fizikal tidak boleh ditolak ansur. Pastikan pekerja asing ini mempunyai talian untuk mengadu kepada pihak luar untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, sekiranya kejadian itu dilakukan anggota pasukan keselamatan, mereka mesti dikenakan tindakan dan tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.