mk-logo
Berita
DOJ belum temui bukti penipuan pilihan raya presiden AS, kata AG
Diterbitkan:  Dec 2, 2020 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

GLOBAL | Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) William Barr pada Selasa berkata Jabatan Kehakiman (DOJ) setakat ini belum menemui bukti mengenai penipuan kertas undi yang didakwa akan mengubah keputusan Pilihan Raya Presiden 2020.

"Hingga ke hari ini, kami belum temui wujudnya penipuan pada skala besar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya," kata Barr kepada The Associated Press dalam satu temu bual, lapor Agensi Berita Xinhua.

Peguam Negara juga mengatakan DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah berusaha mengambil tindakan susulan terhadap aduan dan maklumat yang mereka peroleh.

Peguam Presiden Donald Trump dalam satu kenyataan berkata, Barr mengeluarkan “pendapat tanpa sebarang pengetahuan atau penyiasatan mengenai penyelewengan besar dan bukti penipuan.”

Negeri-negeri di AS sedang mengesahkan kemenangan bekas Naib Presiden Joe Biden ke atas Trump dalam persaingan Rumah Putih, sementara Parti Republikan telah memberi kebenaran kepada pentadbirannya untuk memulakan proses peralihan kepada Demokrat tetapi menolak untuk mengakui kekalahannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS