Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Addy Kanna, Alvin Goh ditahan dua tahun di PPK - Bukit Aman
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 3:15 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Suspek utama sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh serta dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka akan ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) Simpang Renggam, Johor; PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong, Pahang.

“Perintah berkenaan dikeluarkan pada 25 dan 26 Nov sebelum kesemua mereka dihadapkan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan (Kementerian Dalam Negeri) untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, polis turut menahan seorang suspek lelaki warga China dikenali sebagai Chen De Wei, 31, dipercayai mengetuai sindiket Macau Scam di negara ini dalam operasi khas di Mont Kiara di Kuala Lumpur, pada 15 hingga 20 Okt lepas,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata Chen berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia serta China, dan mempunyai kaitan dengan Addy Kanna dan Goh.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek juga dalam senarai orang dikehendaki pihak berkuasa China atas kesalahan Macau Scam.

"Chen bersama enam lagi suspek iaitu lima warga China dan seorang warga tempatan kini direman selama 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Jan tahun depan selepas tamat reman selama 38 hari,” katanya.

Berikutan itu, Huzir berkata menerusi operasi khas Op Dadu Centre itu juga, sebanyak 12 sindiket termasuk kumpulan dianggotai Chen berjaya dipatahkan baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan Goh dan Addy Kanna ditahan pada 2 dan 3 Okt lepas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China dan bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan dan menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kes tembakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, Huzir berkata pihaknya telah menahan 22 penyeludup, melibatkan 18 warga tempatan dan empat warga Thailand.

“Ketika ini, kami masih menahan reman kesemua suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan dan polis sedang memohon kerjasama polis Thailand bagi menahan tiga warganya yang masih bebas,” katanya.

Pada 25 Okt lepas, media melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua melibatkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan tersebut berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi 24 Okt.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah, masing-masing menempatkan aset dan anggota tambahan di sempadan Malaysia-Thailand bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS