Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bersama PAS dah memadai, kata Khaled
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Seorang pemimpin kanan Umno hari ini secara terbuka menyatakan matlamat parti itu untuk menguasai semula kerajaan - yang kini diketuai Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) - dengan kerjasama PAS.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai parti politik Melayu tertua dan terbesar Umno tidak akan memadamkan "mandat dan tugasnya" sebagai parti nasionalis dan teras kepada politik Melayu Islam.

"Misi Umno adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama PAS, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya," kata bekas menteri besar Johor itu dalam satu kenyataan hari ini.

Umno gagal menjadi kerajaan buat pertama kali sejak merdeka apabila gabungan yang ditunjanginya - BN - kalah kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada 2018.

Ia kemudian memeterai kerjasama dengan PAS - yang menjadi seterunya selama berpuluh-puluh tahun - melalui Muafakat Nasional.

Pada akhir Mac lalu kedua-dua parti itu menyertai kerajaan selepas berlaku 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya meninggalkan PH, diikuti 11 ahli parlimen PKR berpaling tadah memberikan sokongan kepada ahli parlimen Pagoh terbabit.

Bagaimanapun kerajaan PN dilihat tidak begitu kukuh. Selain sokongan yang diterima Muhyiddin terus diragui, Umno pula menunjukkan rasa kurang senang dengan layanan yang diberikan Bersatu dalam pentadbiran negeri dan negara.

Pada masa sama beberapa ahli parlimen secara terbuka mempersoalkan keabsahan kerajaan Muhyiddin.

Untuk rekod buat masa ini Umno adalah parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Khaled berkata dalam amalan demokrasi berparlimen ala Westminster, sesebuah parti yang memiliki kerusi terbanyak dipilih membentuk kerajaan.

Kerajaan yang stabil katanya adalah kerajaan yang mempunyai mandat terbesar.

Kata Khaled untuk mencapai matlamat menguasai kerajaan, kekuatan yang ada pada Umno dan PAS sudah mencukupi.

Sebagai rakan kerjasama setara dalam Muafakat Nasional katanya Umno dan PAS memiliki kekuatan yang berbeza.

Umno kata Khaled mempunyai pengaruh dan kekuatan akar umbi lebih besar manakala PAS ada kelebihan tersendiri dalam mewakili orang Melayu.

Tanpa menjelaskan kelebihan tersendiri PAS yang dimaksudkan, Khaled juga membayangkang kedua-dua parti tidak memerlukan Bersatu untuk membentuk kerajaan yang kuat.

"Sebenarnya, Umno dan PAS adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan the space is a little bit too crowded (ruang menjadi terlalu sesak)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS