Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Emolumen RM200 juta JPM tak libatkan pelantikan politik kakitangan kontrak
Diterbitkan:  Nov 30, 2020 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Peruntukan RM200 juta untuk emolumen kakitangan kontrak di Jabatan Perdana Menteri tidak akan digunakan untuk pelantikan politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof.

Menteri tugas-tugas khas itu berkata demikian sebagai menjawab kritikan ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang membangkitkan perkara itu semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

"Port Dickson ada menyatakan emolumen kakitangan kontrak adalah RM200 juta untuk 2021, peningkatan RM181 juta berbanding tahun sebelumnya, adakah (melibatkan) lantikan politik?

"Jawapan kami adalah peruntukan elaun kakitangan kontrak meningkat RM108 juta sahaja berbanding tahun 2020 iaitu RM91.5 juta.

"Tiada pelantikan politik kakitangan kontrak menggunakan peruntukan ini," kata Redzuan yang juga merupakan ahli parlimen Alor Gajah.

Menurutnya, jumlah RM200 juta itu adalah termasuk untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mufti dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Sementara itu, Redzuan juga menjawab pertanyaan Anwar mengenai kenaikan keseluruhan sebanyak RM482 juta atau 10.7 peratus peruntukan Jabatan Perdana Menteri, termasuk untuk duta khas ke China dan Timur Tengah.

Anwar sebelum ini berkata fungsi duta khas itu dapat dilakukan oleh pegawai Kementerian Luar Negeri tetapi Redzuan menegaskan tidak ada pertindihan kerana mereka berperanan untuk memenuhi keperluan strategik negara.

Redzuan juga mengatakan meskipun kabinet PN lebih besar dengan 32 menteri dan 37 timbalan menteri, jumlah kementerian juga lebih banyak jika dibandingkan dengan kabinet PH sebelum ini.

Keseluruhan RM11,693,403,900 perbelanjaan pengurusan dan pembangunan dan peruntukan untuk JPM kemudiannya diluluskan di peringkat jawatankuasa melalui undi blok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS