Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Sempadan Kelantan-Thailand mungkin akan jadi pilihan penyeludup

Peningkatan kawalan sempadan di utara susulan kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) minggu lalu, mungkin akan menyebabkan sindiket penyeludupan beralih ke sempadan Kelantan-Thailand.

Justeru, Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata pasukan keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sentiasa bersiap sedia bagi mengekang sebarang aktiviti pengeludupan.

"Saya tidak menolak kemungkinan penyeludup akan memilih sempadan Kelantan memandangkan kawalan di sempadan utara semakin ketat.

"Bagaimanapun, kita akan memperketat dan memperhebat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan," katanya kepada media ketika hadir Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Pada 28 Nov lalu, Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata ATM melaksanakan rondaan secara agresif di kawasan panas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Katanya, kesiapsiagaan turut ditingkatkan meliputi pengukuhan aktiviti risikan, selain dua kumpulan dari kem Pengkalan Chepa yang diarahkan membuat persediaan untuk digerakkan.

Dalam kejadian 24 Nov lalu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut akibat ditembak penyeludup ketika sedang bertugas dalam kejadian di Tembok Sempadan (TS9) Padang Besar, Perlis.

Sementara itu Shafien berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada laluan tikus yang dikenalpasti di kawasan sempadan itu.

Malah tambahnya, bantuan dari Bukit Aman juga akan dimohon untuk menambah kekuatan anggota sekiranya ada keperluan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS